Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam, pagi tadi, telah meraikan Hari Kemerdekaan India ke-75 dalam majlis ringkas yang diadakan di premis suruhanjaya berkenaan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan suruhanjaya tinggi berkenaan, acara telah diraikan secara terhad dan mematuhi protokol COVID-19 yang ditetapkan.
Semasa acara itu, Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar telah menyempurnakan upacara menaikkan bendera dengan iringan nyanyian lagu kebangsaan dan kemudian membaca petikan ucapan Presiden India, TYT Ram Nath Kovind yang telah disampaikan malam sebelum sambutan.
Dalam ucapannya, TYT Ram Nath Kovind telah menekankan bahawa vaksin adalah perlindungan terbaik daripada sains.
Beliau juga berkata bahawa kempen vaksinasi terbesar di dunia sedang dilaksanakan di India, di mana lebih 500 juta penduduk telah divaksin setakat ini.
Kenyataan menyatakan bahawa acara itu dihadiri oleh pegawai-pegawai suruhanjaya tinggi berkenaan dan disiarkan secara langsung melalui media-media sosial suruhanjaya.
