Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Upacara serah terima tugas pemerintah ABDB

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar serahan Kementerian Pertahanan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Atas titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhd Haszaimi bin Bol Hassan telah dilantik sebagai pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang baharu bermula hari ini.

    Upacara Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pemerintah ABDB telah berlangsung hari ini di Pengkalan Tentera Udara Rimba antara Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat dan Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhd Haszaimi.

    Sejurus tiba, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah menerima Tabik Hormat dan seterusnya memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) dan Askar Wanita ABDB, dengan diketuai oleh Komander Pengiran Mohd Faren bin Pengiran Mohd Noor, TLDB.

    Sebagai Pemerintah ABDB ke-11, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga ABDB yang masih berkhidmat mahupun yang telah bersara atas segala sokongan dan kerjasama di sepanjang perkhidmatan beliau.

    “Sebagai institusi keselamatan yang terbesar di Negara Brunei Darussalam, peramba/saya sangat-sangat menghargai pengorbanan dan komitmen yang telah dipamerkan oleh anggota ABDB.

    Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah dan Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhd Haszaimi semasa upacara menandatangani Sijil Serah Terima Tugas Jawatan Pemerintah ABDB.
    Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah menyerahkan pedang kepada Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhd Haszaimi dalam Upacara Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pemerintah ABDB.

    “Semasa menjawat pemerintah ABDB, peramba/saya menyaksikan sendiri bagaimana anggota ABDB dengan penuh komitmen terlibat dalam beberapa acara besar seperti Sambutan Jubli Intan, Eksesais Hikmat Bersatu 6, dan yang paling signifikan ialah sumbangan bantuan dari segi tenaga manusia dalam usaha berterusan menangani pandemik COVID-19,” kongsi Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah.

    Menurut beliau, penglibatan aktif ABDB dalam membantu usaha negara ini telah menggambarkan komitmen dan kerjasama padu seluruh agensi kerajaan dan bukan kerajaan dalam menyahut pendekatan whole-of-nation bagi menangani sesuatu krisis secara bersepadu.

    Bagi menandakan penerimaan jawatan, Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhd Haszaimi kemudian menerima Tabik Hormat dan memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan.Seterusnya, Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhd Haszaimi menyampaikan ucapan perdana beliau sebagai pemerintah ABDB ke-12, yang antara lain menyentuh mengenai peranan tugas dan tanggungjawab ABDB yang sangat komited terhadap pertahanan kedaulatan negara.

    Upacara kemudian menyaksikan penandatanganan Sijil Serah Terima Tugas Jawatan Pemerintah ABDB, menandakan secara rasmi upacara serah terima tugas, dan diteruskan dengan bacaan Doa Selamat bagi memberkati upacara tersebut.

    Sebelum beredar dari majlis, mantan pemerintah ABDB diarak keluar di atas satu kenderaan, diiringi oleh pegawai-pegawai dan anggota ABDB, yang dikumpulkan dari kesemua unit tentera yang hadir.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...