Ini bukan kali pertama kisah yang direkareka mengenai watak Upin dan Ipin tersebar.
Itu reaksi Pengarah Urusan Les’Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Radzi yang tidak terkejut apabila kecoh konon karakter animasi Upin dan Ipin diangkat daripada kisah benar kembar yang didakwa sudah meninggal dunia, seperti yang hangat diperkatakan dalam media sosial. Burhanuddin berkata, sebelum ini, pernah tular konon Kak Ros, iaitu salah satu karakter dalam siri animasi Upin & Ipin, hamil.
“Saya sedikit pun tidak terkejut apabila berita Upin dan Ipin meninggal dunia tular. Saya tidak marah dengan tindakan pengguna akaun TikTok terbabit.
“Saya faham dia berbuat demikian untuk kandungan media sosialnya. Terbukti apabila dia buat begitu, ramai orang mula mencari akaun TikTok individu terbabit untuk mendapatkan kesahihan,” katanya kepada media.
Kecoh apabila seorang pengguna TikTok berkongsi kisah konon watak Upin dan Ipin diambil daripada kejadian sebenar membabitkan kembar di kampung halamannya yang sudah meninggal dunia.
Kembar itu didakwa meninggal dunia selepas terbabit dengan kemalangan ketika bercuti di Sulawesi, Indonesia. Dalam video itu, pengguna terbabit menunjukkan kubur kembar yang terletak bersebelahan antara satu sama lain. Pada batu nisan berwarna biru, tercatat nama Upin yang meninggal dunia pada 6 Ogos 1995 manakala Ipin pada 2 April 1996.
Burhanuddin berkata, isu terbaru membabitkan Upin dan Ipin tidak perlu diperbesarkan, apatah lagi, Les’ Copaque sudah memberi penjelasan.
“Bagi saya, perkara itu tidak perlu dijadikan isu atau diperbesar-besarkan. Saya tidak mahu memburukkan lagi keadaan.
“Sebab itulah saya guna ayat berseloroh dalam kemas kini terbaharu pada akaun Facebook (FB) kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan hingga menjejaskan jenama Upin dan Ipin di Indonesia,” katanya.
Burhanuddin menambah, dia tidak mahu melatah kerana berita tular itu secara tidak langsung meningkatkan pelayar saluran YouTube Upin dan Ipin.
“Saluran YouTube kami menyaksikan peningkatan jumlah pelayar. Mungkin mereka ingin mencari episod baharu mengenai kematian Upin dan Ipin.
“Selain itu, carian mengenai Upin dan Ipin di Twitter juga sohor kini. Sebab itulah saya tidak melatah kerana ia membantu meningkatkan pelayar dan memberi pulangan kepada syarikat.
“Situasi ini membuktikan Upin dan Ipin adalah siri animasi yang cukup meninggalkan kesan kepada peminat hingga ada yang percaya dengan berita itu,” katanya.
Les’ Copaque Production menjelaskan siri animasi Upin dan Ipin hanyalah rekaan semata-mata tanpa menyentuh kisah hidup mana-mana pihak. – Agensi