Kelu lidah pelakon Uqasha Senrose saat membuka dua kotak hadiah mewah daripada suami bersempena ulang tahun kelahiran ke-30 pada 6 Julai lalu.
Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen memberi reaksi tidak menyangka apabila beliau diberikan hadiah berupa sepasang sandal Gucci Miami Rubber Platform dan beg tangan Gucci Bananya Print Small Tote yang dianggarkan mencecah hingga RM12,000.
Ini adalah kerana Uqasha berkata bahawa suaminya, aktor Kamal Adli bukan seorang pemboros malah sering menasihatinya agar berjimat cermat ketika berbelanja.
Menerusi rakaman video yang dimuat naik ke Instagram, Uqasha yang pada awalnya memberi reaksi terkejut walau bagaimanapun kelihatan teruja apabila menerima dua hadiah tersebut.
Kata Uqasha, dia tidak pernah mengharapkan sebarang hadiah berjenama, asalkan ia daripada suaminya.
Dalam pada itu, Uqasha juga tidak menyangka akan mendapat kejutan daripada Kamal dengan mengadakan majlis sambutan hari jadi untuknya.
“Sepanjang mengenali suami, dia bukan seperti itu.
Maksud Uqasha, dia bukan seorang yang ingin membuat hiasan majlis, kumpulkan semua ahli keluarga, membuat makan-makan, membuat persembahan.
“Paling mengejutkan dia sanggup menyediakan kek tempahan khas yang kebiasaannya dia akan membeli kek biasa sahaja. Saya tidak sangka dapat hiasan majlis hari jadi seperti ini. Saya tidak sangka suami saya buat semua ini.
“Saya bertanya kepada pembantu peribadi sama ada mereka ada terlibat membantu untuk majlis tersebut tetapi kata mereka tidak,” katanya.
Menerusi semakan di laman sesawang Gucci, harga sepasang sandal itu dijual pada harga RM2,109 manakala beg tangan RM9,739.
Bagi sambutan majlis hari jadinya, ia diadakan dengan tema pahlawan Melayu yang dihadiri oleh ahli keluarga terdekat dari kedua-dua belah pihak. – Agensi