Pelakon Malaysia, Uqasha Senrose tampil memohon maaf secara terbuka susulan memuat naik video promosi konsert Stars on Fire Hrithik Roshan di Instagram miliknya baru-baru ini.
Uqasha berkata dia bertindak memadam hantaran itu selepas dilabel sebagai ‘liberal’ oleh warganet.
“Saya sudah pun padam hantaran terbabit dan ingin memohon maaf.
“Saya mendapat ribuan komen pada hantaran terbabit, ada yang sifatkan saya tak sensitif dengan keadaan semasa.
“Jadi nak mohon maaf, bukan kerana tak sensitif tentang isu semasa. Saya bukannya nak tegakkan apa-apa pun di sini, salah tetap salah.

“Terima kasih atas teguran yang baik, mana yang kononnya done unfollow itu semua saya tak boleh nak halang. Apa pun, saya mohon maaf,” katanya dalam satu sesi siaran langsung di Instagram, semalam.
Selain memadamkan hantaran terbabit, Uqasha sudah menghubungi penganjur konsert itu bagi menjelaskan situasi sebenar dan mencapai kata sepakat.
Dalam masa sama, Uqasha mengaku kesilapan yang dilakukan memandangkan terlalu meminati bintang terkenal Bollywood itu.
“Kekhilafan saya sendiri kerana teralpa sekejap. Mungkin kerana saya terlampau minat Hindustan, saya teruja.
“Manusia tak lepas daripada buat kesilapan, saya tak takut dengan mulut orang komen macam-macam, cuma sesiapa yang tegur cara baik, saya hargai dan saya sudah padamkan.
“Saya rasa macam dibuli, saya nak tenangkan hati, saya akui mungkin saya terlepas pandang dan orang fikir saya tak sensitif. Jadi, saya terus padamkan dan jelaskan pada semua orang.
“Saya bukan liberal, bukan neutral, tak takut hilang pengikut mahu pun bimbang akaun Instagram disekat,” katanya kepada Harian Metro. – Agensi