SAITAMA, 16 Julai – Penyerang Jerman, Andre Schurrle telah meledakkan jaringan kemenangan di saat-saat akhir perlawanan ketika Borussia Dortmund menewaskan kelab Jepun, Urawa Reds 3-2 dalam jelajah pra musim mereka semalam.
Penyerang Turki, Emre Mor menjaringkan dua jaringan pantas bagi membatalkan gol pembukaan Shinzo Kuroki, sebelum pemain pertahanan Reds, Wataru Endo menyamakan kedudukan menerusi tandukan lima minit sebelum tamat perlawanan di Saitama.
Tetapi Schurrle tidak mensia-siakan peluang di saat-saat akhir bagi memberikan kemenangan pertama Dortmund bagi jelajah Asia mereka apabila dia menemui sasaran ketika perlawanan berbaki dua minit, melegakan pengurus baru Dortmund, Peter Bosz.
Warga Belanda itu menunjukkan ekspresi marung dalam kekalahan 3-2 Dortmund kepada pasukan peringkat keempat, Rot-Weiss Essen dalam perlawanan pembukaan pra musim mereka awal minggu ini, tetapi pasukannya lebih tajam ketika menentang Urawa.

Pemain perancang Jepun, Shinji Kagawa, yang mengalami kecederaan bahu ketika bermain dalam kelayakan Piala Dunia bulan lepas, tidak beraksi selepas menandatangani kontrak lanjutan dengan kelab Bundesliga itu sehingga 2020 pada hari Jumaat.
“Saya benar-benar mahu beraksi, tetapi kami datang ke sini untuk menang jadi ia mengembirakan untuk mendapat keputusan yang dimahukan,” kata bekas pemain tengah Manchester United itu.
Dortmund, yang menghadapi peperangan bidaan bagi penyerang Pierre-Emerick Aubameyang dengan dua kelab Liga Perdana Chelsea dan Liverpool telah dilaporkan berada di barisan depan bagi tandatangan pemain Gabon itu, akan bermain menentang AC Milan di Guangzhou pada hari Selasa. – AFP