Uruguay ungguli Kumpulan A

MOSCOW, 26 Jun – Rusia telah dikejutkan dari ‘mimpi indah’ setelah mereka ditewaskan 3-0 oleh Uruguay pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan ketika Portugal dan juara 2010, Sepanyol menempah tiket ke kelompok 16 terakhir.

Tuan rumah Piala Dunia itu mencipta kegembiraan pada dua perlawanan awal dengan menewaskan Arab Saudi dan Mesir, meskipun pada mulanya tidak diletakkan sebarang harapan, namun mereka gagal meneruskan rentak kemenangan itu ketika turun bertemu gergasi dari Amerika Selatan itu.

Sepakan percuma menerusi bintang Barcelona Luis Suarez, gol sendiri Denis Cheryshev dan jaringan lewat perlawanan oleh Edinson Cavani mengesahkan Uruguay selaku juara Kumpulan A dengan Rusia turut mara ke pusingan kalah mati selepas menduduki tempat kedua.

Rusia, yang akan bertemu juara Kumpulan B, tidak dapat menggunakan khidmat Igor Smolnikov yang dilayangkan kad merah 10 minit sebelum tamat separuh masa pertama di Samara ketika ketinggalan 2-0.

“Sudah tentu beberapa perlawanan pertama akan menyebabkan anda tegang dan tidak mahu melakukan kesalahan,” kata pemain terbaik perlawanan, Suarez.

Artyom Dzyuba (tengah) diasak oleh dua pemain Uruguay dalam saingan terakhir peringkat kumpulan antara Rusia dan Uruguay. – AP

“Satu kesilapan boleh menjadi sangat mahal. Hari ini kami memasuki padang dengan sikap dan perspektif berbeza, di mana ia akan menjadikan permainan lebih baik. Itulah yang kami lihat di atas padang.” Jurulatih Rusia, Stanislav Cherchesov, yang kecewa, berkata adalah baik tewas sekarang berbanding perlawanan seterusnya nanti.

Beliau turut mengenal pasti bahawa pemainnya dilihat gementar di awal perlawanan namun secara psikologinya mereka sudah bersedia menempuh pusingan kalah mati.

“Hasilnya sangat mudah. Kami lakukan apa yang perlu kami lakukan.

“Tetapi anda tidak boleh memulakan permainan di tahap ini dengan melakukan kesilapan seperti itu, iaitu membuka peluang untuk lawan menjaringkan gol,” katanya.

“Uruguay kemudian mula bermain dengan gaya bola sepak mereka. Selepas itu kami mendapat kad merah.”

Dalam perlawanan lain Kumpulan A, Arab Saudi menewaskan skuad Mesir dengan jaringan 2-1 di Volgograd, tetapi apa yang menjadi tumpuan adalah penjaga gol Mesir, Essam El Hadary, yang menjadi pemain tertua membuat penampilan di Piala Dunia. – AFP