Urus harta pusaka ketika masih hidup

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, setelah beberapa tahun berusaha, Imani Zulaikha (bukan nama sebenar) akhirnya berjaya mengumpulkan semua adik-beradik, anggota keluarga dan waris terutamanya sebelah arwah ayah, bagi menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka.

Sambutan Aidilfitri 2019 di Sungai Petani, Kedah menjadi titik pertemuan bagi semua waris untuk ‘menjernihkan’ semula hubungan kekeluargaan yang selama ini menjadi keruh dek perebutan harta pusaka ayahnya yang telah meninggal dunia, kira-kira lima tahun lalu.

“Niat saya cuma satu, mahu menyelesaikan urusan pembahagian harta pusaka yang meliputi beberapa bidang tanah, sawah padi dan rumah pusaka yang mencecah jutaan ringgit,” katanya kepada media.

Selama ini, Imani, 34, jurutera teknologi maklumat di Kuala Lumpur, tidak pernah terfikir bahawa kematian seseorang yang disayangi seperti ibu bapa atau suami isteri rupa-rupanya permulaan persengketaan yang panjang dan boleh mengeruhkan hubungan kekeluargaan.

“Meskipun belum selesai urusan pembahagian harta pusaka, tetapi perbincangan antara kami menunjukkan perkembangan positif dan ia menjadi pengajaran agar tidak menangguhkan urusan pembahagian harta pusaka,” kata Imani yang merupakan anak bongsu perempuan daripada tiga beradik lelaki.

Dokumen suratcara hibah dalam isu penyelesaian harta pusaka. – Bernama
Peguam Datuk Ikbal Salam turut berkongsi pandangan dalam isu pembahagian harta umat Islam. – Bernama

Berbilion nilai harta pusaka terbiar

Kisah perebutan dan persengketaan mengenai pembahagian harta pusaka yang berlaku dalam keluarga Imani bukan perkara baharu dalam masyarakat Melayu Islam di Malaysia.

Malah, menurut pakar sosial Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, masyarakat Islam di Malaysia secara umumnya masih tidak peka dan sensitif mengenai penamaan harta pusaka kerana mereka tidak pernah membuat perancangan dan pembahagian harta, semasa hayat.

“Sikap sebeginilah menyebabkan terdapatnya banyaknya kes-kes tanah pusaka yang nilainya mencecah ber-bilion ringgit, didapati terbiar kerana proses pertukaran nama gagal dilakukan,” katanya.

Media melaporkan sehingga kini terdapat hampir 70 bilion nilai harta pusaka majoritinya milik orang Melayu di negara, ini tidak dituntut sejak merdeka.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Mohammad Shatar yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata konsep hibah yang merupakan alternatif untuk mewariskan harta pusaka, didapati masih kurang popular dalam masyarakat Melayu Islam.

Justeru, beliau menyarankan masyarakat Melayu menjadikan majlis keluarga seperti Sambutan Aidilfitri sebagai platform untuk berbincang dan menjelaskan mengenai  wasiat, hibah serta harta pusaka, kerana ketika inilah majoriti semua anggota keluarga pulang ke kampung dan berkumpul.

“Tak perlu tunggu sudah meninggal baru nak jumpa dan berbincang. Setiap tahun, apabila raya, kita jumpa dan gunakan peluang ini untuk berbincang terutama apabila ibu bapa masih lagi hidup,” katanya menambah pendekatan ini mampu mengelak salah faham dan konflik pada kemudian hari.

Masyarakat masih bergantung pada faraid

Turut berkongsi pandangan dalam isu pembahagian harta umat Islam, peguam Datuk Ikbal Salam yang mengakui bahawa masyarakat Melayu Islam di negara ini masih berpaksikan pada hukum faraid dan berpendapat seolah-olah hukum faraid adalah satu-satunya kaedah pembahagian harta pusaka dalam Islam.

“Ini mungkin antara punca umat Islam bersikap sambil lewa dan tidak merancang pembahagian  harta pusaka mereka serta menyerahkan bulat-bulat urusan pembahagian harta pada hukum faraid,” katanya.

Sedangkan Islam menggariskan pelbagai kaedah pembahagian harta yang bertujuan untuk mencapai keadilan dan melaksanakan mengikut Maqasid Syariah, jelas beliau.

“Ironinya, mereka yang melulu taksub terhadap hukum faraid, akhirnya menjadi individu yang mempertikaikan bahagian faraid apabila menyedari bahagian pusaka yang diterima tidak seperti yang diharapkan,” tambah beliau.

Ikbal yang berpengalaman selama 24 tahun mengendalikan kes tuntutan berkaitan harta pusaka berkata kematian berlapis atau pewaris akan merumitkan lagi urusan pembahagian harta pusaka.

Dan senario ini, katanya, sering berlaku dalam sesebuah keluarga Melayu kerana banyak terdapat geran hak milik tanah yang masih tercatat atas nama arwah nenek moyang yang salasilahnya dari tiga atau empat generasi terdahulu.

“Natijahnya, pembahagian harta pusaka tidak dapat dilakukan kerana terlalu ramai waris telah meninggal dunia dan tidak boleh dikesan,” katanya.

Wajibkan aplikasi instrumen hibah

Melihat permasalahan yang tidak berkesudahan ini, Ikbal berpendapat sudah tiba masanya untuk setiap institusi perbankan termasuk institusi perbankan Islam, koperasi dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menawar dan menggalakkan khidmat instrumen hibah kepada setiap pendeposit sebaik membuka akaun.

“Kita perlu ‘wajibkan’ institusi berkenaan menyediakan instrumen hibah ke atas wang caruman, akaun simpanan, akaun semasa dan pelaburan bagi memudahkan tuntutan wang di dalam akuan berkenaan,” katanya sambil menambah sekiranya berlaku kematian, waris tidak perlu lagi mendapatkan perintah pusaka bagi tujuan pengeluaran dan pembahagian harta si mati.

Jelas beliau, objektif mengaplikasikan instrumen hibah adalah bagi memastikan wang milik pendeposit yang meninggal dunia tidak perlu melalui proses permohonan harta pusaka yang panjang atau dibahagikan menurut hukum faraid.

“Sebaliknya, penerima seperti balu akan dapat mengeluarkan wang milik arwah suami mereka dengan cepat bagi meneruskan kehidupan tanpa perlu menunggu proses urusan pusaka yang biasanya memakan masa yang panjang,” katanya menambah tempoh minimum biasanya selama enam bulan.

Kaedah hibah ini juga akan memberikan pilihan kepada pemilik wang untuk menentukan bahagian yang perlu diagihkan kepada waris atau digunakan bagi tujuan wakaf dan sedekah.

Di samping itu, Ikbal berpendapat Unit Pembahagian Pusaka Kecil, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian perlu meneliti prosedur operasi standard permohonan pusaka supaya proses pemindahan dapat dilakukan lebih pantas dan tidak terikat kepada tempoh minimum enam bulan, semata-mata bagi mendapatkan tarikh bicara pusaka.

Majlis Agama Islam negeri-negeri pula disaran mewujudkan Bahagian Pusaka dan Amanah Harta bagi memberi khidmat nasihat untuk kes-kes pengurusan harta pusaka supaya ia tidak perlu melalui proses ligitasi di mahkamah syariah, katanya.

“Selain itu, usaha menjadikan kuliah dan ceramah agama di masjid mungkin dapat membuka minda dan menjadi platform bagi mendidik masyarakat mengenai pengurusan harta pusaka, wakaf, nuzriah (membuat nazar, kebajikan) dan hibah secara berkala,” katanya. – Bernama