Urus perbelanjaan dengan bijak

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyeru agar semua pihak mengamalkan amalan berhemah dan meningkatkan usaha untuk mempelbagaikan ekonomi demi mengukuhkan kestabilan makro-ekonomi dan kedudukan kewangan negara.

“Perlu diingat, hasil pendapatan yang banyak tidaklah semestinya mampu untuk menjamin kestabilan dan kekukuhan kewangan andainya hasil itu tidak diurus dengan betul dan cekap.

“Dalam pada itu, sangatlah penting diingat mengenai cara penggunaan wang kerajaan, cara ini mesti benar-benar telus dan amanah, jangan mentang-mentang wang kerajaan, kita pun secara sewenang-wenang membuat projek walaupun projek itu kurang penting atau memang ada kecenderungan berbelanja besar sebab peruntukan daripada kerajaan atau mungkin juga di sebalik peruntukan besar itu, berlaku sandiwara pintu belakang dengan pihak-pihak tertentu di luar kerajaan,” titah Baginda lagi semasa Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-16 bagi Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

Tambah Baginda lagi “Mengenai dengan perbelanjaan kerajaan, kita menyedari bahawa perbelanjaan itu terus saja meningkat tahun demi tahun, oleh itu, setiap agensi kerajaan dikehendaki supaya berhati-hati dalam menggunakan peruntukan yang telah disediakan.

“Dan lebih malang lagi kalau hanya pandai membuat projek, sedang pengawasan terhadap kerja-kerja projek sangat lemah sehingga apabila siap projek itu, didapati banyak kerosakan atau kekurangan berlaku.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-16 bagi MMN. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Mengapa ini terjadi? Pertama kerana pengawasan lemah dan kedua, apabila pengawasan lemah, maka mudahlah berlaku penyelewengan seperti penyelewengan menggunakan bahan-bahan yang murah atau rendah kualiti.”

Baginda bertitah menyeru khasnya kepada ahli-ahli Yang Berhormat yang dilantik supaya menyuarakan pandangan-pandangan mereka tanpa ragu-ragu kerana suara mereka adalah diperlukan untuk kebaikan, titah Baginda lagi.

Selain itu, Baginda juga menyeru kepada pihak berwajib untuk meneliti beberapa perkara mustahak yang ha-rus diambil perhatian termasuk dasar-dasar sumber tenaga manusia sebagai langkah berkesan ke arah meningkatkan peluang-peluang pekerjaan.

Baginda telah memperkenankan bagi Manpower Planning and Employment Council (MPEC) yang ditempatkan di Jabatan Perdana Menteri, bagi memikirkan langkah-langkah berkesan ke arah meningkatkan peluang-peluang pekerjaan dan menangani isu pengangguran.

“Dasar-dasar yang ada juga mustahak diteliti, misalnya, yang berkaitan dengan kemasukan pekerja-pekerja asing, halangan atau proses yang boleh menyekat community business dari pada berkembang, mengadakan latihan-latihan bagi membantu pencari-pencari pekerjaan, merebiu syllabus-syllabus berkaitan dengan program latihan, merebiu proses mempercepatkan pengisian jawatan-jawatan kosong dalam perkhidmatan awam dan lain-lain.

Sementara itu, bagi menjana aktiviti perekonomian dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk di Daerah Temburong, Baginda telah memperkenankan bagi penubuhan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) bagi tujuan menjana aktiviti perekonomian dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk di Daerah Temburong. Terdahulu dalam titah Baginda, Baginda turut menyentuh berbagai-bagai aspek ekonomi yang ketika ini berhadapan dengan ketidaktentuan yang digawatkan lagi oleh pergolakan geo-politik dunia dan penularan wabak COVID-19.

Baginda bertitah bahawa situasi ekonomi dunia didapati sebagai tidak menentu namun begitu, negara masih saja mampu untuk mencatatkan kadar pertumbuhan yang menggalakkan di samping juga dapat menikmati beberapa pembaharuan dari segi infrastruktur mahupun yang berbentuk dasar.

“Ketidaktentuan itu, digawatkan lagi oleh pergolakan geo-politik dunia yang tidak berkesudahan.

Kemudian secara mendadak, pasaran kewangan dunia pula, terutama di rantau Asia mengalami masalah teruk akibat penularan wabak COVID-19. Kesan daripada wabak ini, telah menjejaskan perkembangan dan pertumbuhan ekonomi di kebanyakan negara di dunia.

“Termasuk menjadi sebab kurangnya permintaan minyak dan gas dunia, yang secara automatik menjadikan harga kedua-dua komoditi ini jatuh.”

Perkara itu, titah Baginda, boleh menyebabkan negara mengalami defisit setelah mencatat lebihan baki fiskal pada Tahun Kewangan 2018/2019.

Negara Brunei Darussalam juga meraih beberapa pencapaian yang signifikan sepanjang 2019 antaranya transformasi sektor telekomunikasi yang mampu bertindak meningkatkan inovasi untuk mengubah landskap ekonomi negara ke arah era digital, Revolusi Industri ke-4, melalui penubuhan Syarikat Unified National Networks Sdn Bhd iaitu (UNN) yang 100 peratus dipunyai oleh kerajaan Baginda.