Urusan rentas sempadan M’sia-S’pura lancar

SINGAPURA, 17 OGOS – Sekitar jam 10 pagi, rakyat Malaysia mula tiba di pintu masuk darat Singapura pada hari pertama pelaksanaan rentas sempadan Malaysia dan Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

“Urusan pelepasan di Johor dan kemasukan ke Singapura berjalan lancar,” kata seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai ‘Hidayah’ ketika ditemui sedang berbaris menunggu bas yang diuruskan oleh pihak majikannya.

Bekerja di sektor pembuatan di Kallang, beliau dan kira-kira 20 lagi rakan sekerja sudah berkumpul di luar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Johor seawal 6 pagi.

Sebaik proses pelepasan selesai di Kompleks Bangunan Sultan Iskandar yang memulakan operasi pada 7 pagi tadi, mereka mula berjalan kaki menyeberang Tambak Johor sejauh kira-kira 1km.

“Kami mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk menyeberang. Kami perlu berhenti-henti. Bukan apa kerana kami membawa beberapa bagasi,” kata wanita berusia 28 tahun ini.

Tinjauan Bernama mendapati rakyat dari Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor pada hari pertama pembukaan sempadan kedua-dua negara sejak ditutup pada 18 Mac lalu bagi membendung penularan pandemik COVID-19. – Bernama
Sekitar 10 pagi kelmarin, sebahagian rakyat Malaysia mula tiba di pintu masuk darat Singapura pada hari pertama perlaksanaan rentas sempadan Malaysia dan Singapura di bawah skim Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA). – Bernama

Tinjauan Bernama mendapati tempat mengambil penumpang di luar Pusat Pemeriksaan Woodlands kelihatan sibuk dengan beberapa bas yang disediakan pihak majikan, dan teksi kelihatan silih berganti mengambil penumpang.

Hidayah berkata beliau dan rakan sekerja bernasib baik kerana pihak majikan masih memanggil mereka pulang bekerja semula di republik ini walaupun sudah berada di Malaysia sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas.

“Sebelum ini saya berulang alik. Pada tarikh 18 Mac tersebut saya dan sebahagian rakan tidak sempat masuk semula ke Singapura,” kata ibu kepada anak damit berusia setahun tiga bulan ini yang berasal dari Tampoi Johor.

Demi kelangsungan hidup di tengah-tengah keadaan ekonomi dunia yang lemah, Hidayah dan rakan-rakan nekad untuk berada di Singapura selama 90 hari seperti yang disyaratkan di bawah skim PCA.

“Keluarga reda dan berpesan jaga diri dan kesihatan,” katanya dan menambah tidak bimbang tentang penginapan sepanjang di sini kerana disediakan oleh majikan.

Skim RGL dan PCA dilaksanakan bertujuan menangani ke-perluan kumpulan berbeza yang melakukan perjalanan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.

RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan jangka pendek bagi perniagaan penting dan tujuan rasmi antara kedua-dua negara dan boleh berada di republik ini bagi tempoh sehingga maksimum 14 hari.

PCA pula membenarkan rakyat Singapura dan Malaysia, yang memegang pas kerja sah di satu daripada dua negara berkenaan, untuk memasuki negara berkenaan bagi tujuan bekerja.

Pelawat ke Singapura di bawah skim PCA dijangka diberikan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dan perlu menjalani ujian PCR COVID-19 sebelum tempoh SHN tamat.

Selepas sekurang-kurangnya 90 hari berada di negara tempat mereka bekerja, mereka boleh kembali ke tanah air untuk cuti jangka pendek, dan selepas itu boleh masuk semula ke negara tempat mereka bekerja untuk bekerja bagi tempoh sekurang-kurangnya 90 hari lagi. – Bernama