Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Uruskan kewangan, harta dengan bijak

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Antara nikmat yang boleh melalaikan ialah nikmat harta dan ia merupakan amanah daripada Allah SWT untuk dimanfaatkan dengan sebaiknya dan bukanlah untuk disia-siakan sehingga terjadinya pembaziran, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan sebagainya.

    Sehubungan itu, adalah penting untuk menguruskan kewangan dan harta dengan penuh berhemah dan bijaksana melalui amalan menabung, berzakat, bersedekah, pembahagian harta waris termasuk anak-anak yatim dan seumpamanya.

    Khatib menekankan perkara itu dalam khutbah Jumaat bertajuk ‘Bijaksana dalam Pengurusan Kewangan’ hari ini. Beliau seterusnya mengingatkan sebagai manusia, kita tidak dapat lari daripada mengurus dan menghadapi masalah kewangan, oleh itu pengurusan kewangan yang teratur akan membantu menyejahterakan kehidupan pada masa hadapan.

    Menurutnya lagi, kita perlu membuat inisiatif baharu bagi mengubah sikap dalam pengurusan kewangan dan sebagai permulaan, langkah-langkah seperti menyemak dan mengurus semula kewangan peribadi dengan muhasabah diri dalam perbelanjaan dan gaya hidup perlu ditekankan.

    Sekiranya perbelanjaan dan gaya hidup itu melebihi kemampuan, kita perlu mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting dan simpan wang untuk rancangan masa depan.

    Selain itu, kita juga disarankan untuk mengelakkan diri dari berhutang, lebih-lebih lagi berhutang bagi perkara yang tidak berfaedah dan tidak penting.

    Oleh itu, amalkan budaya menabung, jelas khatib, ini kerana dengan menabung dapat membuat persediaan jika berlaku hal-hal kecemasan.

    “Agama Islam telah mengajar cara berbelanja dan mengurus harta dengan betul iaitu berbelanja dengan bijak, bersederhana dan tidak berlebih-lebih atau membazir dalam kehidupan, ia dapat mengawal dan mengelakkan diri dari bersikap boros dan membazir,” katanya lagi.

    Berbelanja itu tidak salah tetapi ia hendaklah mengutamakan kemampuan dan keperluan bukan mengutamakan kemahuan dan hawa nafsu, jelasnya.

    “Sikap berbelanja mengikut hawa nafsu itu mestilah dihindari dan dibendung sebelum ia menjadi satu tabiat, kerana apabila bersikap boros dan berbelanja di luar kemampuan serta berlebih-lebihan ia boleh mengundang pelbagai masalah seperti menanggung beban hutang, pembaziran dan sebagainya,” tegasnya.

    Khatib turut mengingatkan bahawa agama Islam melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana membazir merupakan satu tabiat buruk manusia yang sering terjadi apabila mereka dikurniakan rezeki atau nikmat yang banyak dan melimpah ruah.

    Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu amat suka kepada orang yang boros dan berbelanja mengikut hawa nafsu.

    “Sebagai umat Islam, hendaklah membelanjakan rezeki yang diperoleh dengan bijak mengikut lunas-lunas Islam di samping mengamalkan sikap bijaksana dalam mengurus kewangan dan dengan demikian akan dapat mengukuhkan lagi ekonomi keluarga, masyarakat dan negara ke arah menjamin masa depan yang lebih baik,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...