‘Usah ‘buta’ taburan wang ringgit’ – Maya

Tergelak besar aktres tersohor, Maya Karin, 42, saat mengimbau semula detik permulaan kerjaya lakonan yang diceburi sejak lebih dua dekad lalu.

Masih segar dalam ingatan Maya bagaimana dua filem yang dibintanginya pada awal pembabitan dalam bidang lakonan menghadiahkan pengalaman lucu, tetapi, disifatkan amat berharga.

Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke mengakui, dirinya naif dan tidak mengetahui perkembangan dunia perfileman tempatan, malah, pernah melalui situasi terlalu dikaburi dengan wang ringgit hingga hampir memusnahkan kerjaya lakonannya.

“Masa mula ditawarkan berlakon filem Seri Dewi Malam oleh Aziz M Osman, saya sangkakan ia akan ditayangkan di kaca TV, walhal diterbitkan oleh produksi perfileman.

“Lebih memalukan saya tidak kenal aktor Hairie Othman yang digandingkan dengan saya hinggalah pihak produksi memaklumkan itu adalah pelakon utama filem Leftenan Adnan.

Pengalaman pahit yang dialami Maya Karin nyata mengajarnya bahawa wang bukanlah segala-galanya. – Agensi

“Saya naif dan tidak tahu perkembangan industri perfileman tempatan. Malah, saya langsung tidak boleh bercakap dalam bahasa Melayu pada masa itu.

“Mengenai filem sebuah filem komedi, sejujurnya saya menolak tawaran membintangi filem ini. Namun, penerbit memujuk dan sanggup membayar dua kali ganda daripada bayaran asal.

“Apabila filem ini ditayangkan, saya dikritik teruk dan ramai yang menjangkakan kerjaya lakonan saya bakal berakhir,” katanya pada sesi Instagram (IG) Live Bersama Penggiat Seni menerusi topik Aku Pelakon Terbaik, Isnin lalu.

Sesi anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS) itu diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember ini. Mengangkat topik, Aku Pelakon Terbaik, sesi Live IG itu dikendalikan moderator yang juga dua editor hiburan, Saharudin Mohd Musthafa dan Roslen Fadzil.

Pengalaman pahit itu nyata mengajar pemenang kategori Artis Baharu Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2001 itu, bahawa wang bukanlah segala-galanya.

“Masa mula berada di lokasi filem ini, saya sudah rasa bagaikan ada yang tidak kena. Waktu itu berlaku kejadian ada ulat dalam nasi yang saya makan dan petugas produksi datang lewat.

“Jujur, saya akui membintangi filem ini adalah kesilapan paling besar buat saya.

“Pengalaman ini juga menyedarkan saya jangan buat sesuatu kerana duit. Walaupun duit itu penting, tetapi jika silap percaturan ia boleh memusnahkan kerjaya seni.

“Pesan saya, jika nak berlakon buat sepenuh hati dan jiwa, bukan semata-mata sebab wang,” ujar Maya.

Dalam perkembangan lain, pemenang trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak dua kali ini sempat menitipkan nasihat berguna kepada pelakon baharu yang mahu menjadikan bidang lakonan sebagai periuk nasi.

“Perkara utama kena tahu niat memasuki industri seni. Adakah kerana mahu berlakon ataupun semata-mata nak kejar populariti?

“Jika betul niat nak jadi anak seni, kena bukti ada keghairahan itu. Mereka juga kena ada inisiatif untuk terus memperbaiki diri, lakonan dan ikhlas dalam kerja yang ingin dilakukan.” – Agensi