Usah rendahkan martabat seorang wanita – Siti Sarah

Penyanyi Siti Sarah menegur sikap segelintir peniaga atas talian terutama wanita yang menggunakan taktik sensual sebagai strategi melariskan produk.

Berkongsi luahan dalam akaun Instagram TV (IGTV), penyanyi yang popular dengan lagu Kesetiaan ini menegaskan, perkara itu tidak sepatutnya dijadikan amalan kerana memberi gambaran buruk dan menjatuhkan martabat wanita.

“Apa yang Sarah cakap ini mungkin menyakitkan hati beberapa pihak. Namun, sebagai wanita Melayu dan beragama Islam, Sarah harus bercakap mengenai perkara ini.

“Sarah tahu ada ramai di luar sana yang mahu berniaga tetapi mereka terikut-ikut dengan cara ahli perniagaan lain sampai menggoncang dada dan berpakaian separuh bogel hingga menjatuhkan air muka kita sebagai wanita.

“Saya fikir sebagai umat Islam, kita ada banyak cara untuk membuat duit. Kita boleh cari rezeki tanpa perlu mengaibkan diri dan buat benda-benda yang menjatuhkan maruah,” katanya.

Sarah yang juga isteri kepada pelakon, pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu turut menunjukkan cara betul dalam memasarkan produk. – Agensi