Usah tergesa-gesa dalam pengajaran

Saya sebagai seorang bapa saudara ini menimbulkan satu perkara yang ditujukan kepada semua guru atau pendidik yang dihormati terutama bagi yang mengajar pelajaran teras seperti Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Hal yang ingin dibangkitkan adalah sesetengah guru terlalu cepat mengajar dan menukar topik-topik yang diajar kepada murid-murid tanpa ada latihan untuk menguasai setiap topik yang diajar.

Para guru atau pendidik harus ingat ketika ini tugas anda sebagai pendidik diambil alih oleh para ibu bapa atau ahli keluarga lain.

Jangan samakan tahap kemampuan dan pendidikan ibu bapa atau ahli keluarga dengan guru kerana tidak semua mahir dalam bidang pendidikan.

Jika kanak-kanak yang memiliki keluarga yang terdiri daripada guru atau bekas guru atau memiliki kemahiran dalam topik yang diajar, ia merupakan satu kelebihan pada kanak-kanak tersebut. Jika sebaliknya, siapa yang hendak dirujuk?

Setentunya kami akan merujuk semula kepada guru. Saya sarankan pihak guru mengajar dengan secara perlahan agar murid-murid dapat menguasai setiap topik yang diberikan.

Dalam masa yang sama berikan tempoh yang panjang sedikit untuk memberikan ruang kepada murid-murid mengukuhkan dan menajamkan kefahaman mereka.

SZS