PERNAHKAH dalam sehari anda tidak berasa apa-apa? Tiada rasa dalam hati. Tiada rasa gembira, tiada rasa sedih, tiada rasa risau, tiada rasa apa-apa. Mustahil, bukan? Ya, mustahil, kerana Allah Subhanahu Wataala menciptakan setiap hambaNya dengan hati yang mampu ‘berasa’ tentang sesuatu.
Kalaupun ada yang berbeza, mungkin daripada aspek lain tetapi semua manusia pasti mempunyai rasa.
Setiap hari pasti merasa dan berasa yang baharu untuk setiap yang berlaku dalam hidup. Demikianlah cara hati memberi reaksi terhadap setiap kejadian; dengan memberi rasa kepada empunya badan.
Pandu rasa sedih
Rasa sedih tak dapat diduga, bila ‘dia’ akan bergayut di tangkai hati. Yang selalu diharapkan, biarlah rasa gembira yang selalu memenuhi ruang hati kita. Namun, janji Allah itu pasti. Semua rasa akan menjengah ruang hati, malah bersilih ganti termasuklah rasa sedih.


Bagaimana kita memandu rasa sedih? Ke mana arah yang perlu kita tuju ketika kita bersedih? Cuba kita imbas kembali, siapa yang kita cari ketika kita sedih. Itulah jawapan ke mana kita halakan rasa sedih kita.
Penting! sangat penting! Adakah kita mencari ibu bapa kita atau kawan-kawan kita atau mungkin ada yang mencari pakar kaunseling sebagai penasihat bagi mengurangkan kesedihan.
Ya, kita boleh mencari sesiapa sahaja sebagai tempat meluahkan rasa sedih. Tetapi pastikan mereka yang kita pilih tidak memandu kita ke arah yang salah.
Ketika kita bersedih, kita akan cenderung meluah rasa kepada mereka yang kita percayai. Maka, pergantungan kita menjadi tinggi kepada mereka. Jika ibu bapa yang kita pilih, Insya-Allah, semuanya akan selamat. Jika pakar kaunseling, pasti kita akan dipandu ke arah yang selamat.
Tetapi bagaimana kita memilih kawan-kawan sebagai tempat meluah rasa?
Allah sebaik tempat meluah rasa
Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-‘Ankabut, ayat 2:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja dengan mengatakan ‘Kami telah beriman’, sedangkan mereka tidak diuji lagi? “
Jelas, Allah yang menghadirkan ujian, maka Allah adalah sebaik-baik tempat meluah rasa. Kembali kepada-Nya. Mungkin kita akan tertanya-tanya, “Kita tidak nampak Allah, bagaimana untuk mendapat ‘kelegaan’ daripada-Nya?”
Percayalah, andai Allah mampu mencampakkan rasa sedih yang tidak dapat dilihat itu ke dalam hati kita, maka Allah mampu menyejukkan hati kita dengan kelegaan yang didambakan.
Malah, Allah akan memberi petunjuk, jalan keluar daripada kesedihan tersebut. Kuasa Allah mengatasi segala-galanya.
Lapangkan hati, berwuduk dan bersujudlah walau untuk seketika. Ujian rasa sedih, tanpa kita sedar sebenarnya merupakan hint daripada Allah yang meminta kita kembali kepada-Nya. Sabda Rasulullah:
“Solat yang paling baik selepas solat fardu ialah Solat Tahajud (tengah malam).” (Hadis Riwayat Muslim)
Ayuh, kita kembali kepada-Nya ketika kita bersedih! Utamakan Dia kerana Dia tidak akan menghampakan kita.
Ibu bapa usah diketepikan, pertolongan kawan-kawan yang ‘benar’ juga boleh diraikan tetapi letakkan pergantungan sepenuhnya pada Ilahi. Allah Maha Mendengar. Allah Maha Mengetahui.
Ilham pujangga rasa
Cuba bisikkan zikir; ‘Hasbunallah Wa Ni’malwakil Ni’Malmaula Wa Ni’Mannasir’ pada diri kita – cukuplah Allah sebagai penolong, dan sebaik-baik pelindung. Pasti hati yang sedih akan terubat rawannya. Tepuk dada, cuba rasa!