Usaha atasi kemiskinan, usah tunggu bantuan

PUTRAJAYA, 2 DIS – Kemiskinan tidak akan dapat diatasi dengan hanya bergantung kepada bantuan kewangan daripada kerajaan atau ‘duit percuma’ tetapi memerlukan golongan miskin untuk berusaha sendiri dan menerima strategi kerajaan bagi mengatasi kemiskinan, kata  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 menggariskan strategi-strategi bagi mengurangkan jarak kemiskinan antara yang kaya dan miskin serta antara kaum. Sekiranya mereka berusaha sendiri dengan bantuan kerajaan seperti pinjaman modal dan latihan berkaitan perniagaan, Dr Mahathir berkata beliau yakin golongan itu dapat menambah pendapatan.

“Mereka yang miskin kena terima cadangan-cadangan kerajaan untuk mereka berusaha atasi kemiskinan mereka. Mereka yang miskin boleh diperkayakan, ditambah pendapatan mereka dengan cara mereka berusaha.

“Kalau dari satu punca (pendapatan) mereka tidak dapat atasi masalah mereka, kita perlu tentukan ada punca lain yang memberi pendapatan kepada mereka,” katanya pada perjumpaan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini.

Dr Mahathir turut meminta para pegawai kerajaan untuk memberi penerangan kepada golongan miskin mengenai kepentingan berusaha dan tidak menunggu bantuan kewangan daripada kerajaan. – Bernama