ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
DIADAPTASI daripada filem popular pada tahun 1995 dengan judul yang sama dibintangi oleh Bruce Wilis, Madeleine Stowe dan Brad Pitt, 12 Monkeys menampilkan jalan cerita pada elemen misteri dan sains fiksyen.
Kini Terry Gilliam dipertanggungjawabkan untuk menjadi pengarah dan skrip drama tersebut pula ditulis oleh David dan Janet Peoples.
Aaron Standford dan Amanda Schull pula dipilih untuk menjadi pelakon utama di dalam siri drama ini. Di samping itu, ia turut dibintangi oleh Kirk Acevedo, Noah Bean, Todd Stashwick, Emily Hampshire, Barbara Sukowa dan ramai lagi.
Pada dasarnya, ia mengisahkan mengenai James Cole lakonan Aaron Stanford yang telah direkrut oleh sekumpulan saintis yang diketuai oleh seorang ahli fizik, Katarina Jones lakonan Barbara Sukowa untuk melaksanakan Projek Splinter pada tahun 1983.
Untuk melaksanakan misi tersebut, James Cole harus merentas masa kembali ke tahun 2017 bagi mematahkan aktiviti penyebaran wabak virus yang giat dilaksanakan oleh sekumpulan organisasi penjahat, Army of the 12 Monkeys.

Penyebaran virus tersebut dipercayai telah mengancam jutaan penduduk di masa hadapan dan ia wajar dibendung dengan lebih awal agar mimpi buruk tersebut tidak akan menjadi satu realiti.
Selepas merentas masa, James Cole juga telah bertemu dengan pakar virus terkemuka, Dr. Cassandra ‘Cassie’ Rally lakonan Amanda Schull dan telah bekerjasama untuk membanteras sebarang aktiviti penyebaran virus tersebut bagi mengelakkannya daripada menular.
Dengan daya tarikan yang dimiliki di antara dua individu secara tidak langsung telah membuahkan bibit-bibit rasa cinta dan perasaan sayang di antara mereka walaupun menyedari bahawa mereka datang dari dua era yang berbeza.
Pada penghujung musim kedua, Dr. Cassandara telah diculik oleh kumpulan penjahat 12 Monkeys itu untuk dijadikan sebagai satu tebusan bagi mengarahkan James Cole untuk segera berhenti daripada campur tangan terhadap aktiviti jahat yang mereka laksanakan.
Lalu, apakah tindakan James Cole adakah beliau sanggup untuk melihat dunia terus diancam dengan penyebaran wabak virus atau rela untuk berhenti daripada meneruskan misi bagi mematahkan aktiviti jahat itu dan terus memilih untuk menyelamatkan kekasihnya.
Untuk mengetahui kesudahan siri drama yang sangat menarik ini jangan terlepas untuk terus menonton musim ketiga bagi siri drama 12 Monkeys sehingga ke penghujungnya.