Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha bantu bekas banduan mula kehidupan baru

    SEMENYIH – Sejak dua tahun lepas, Aakash (bukan nama sebenar) begitu setia menghitung hari dan menunggu tiba tarikh untuk dibebaskan.

    Berusia 35 tahun dan berasal dari Kelana Jaya, dia terpaksa merengkok di penjara selepas didapati bersalah atas kes samun berkumpulan dan menggunakan senjata berbahaya di bawah seksyen 395/397 Kanun Jenayah.

    Anak ketiga daripada empat beradik ini dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun pada 2015 dan dia dijangka dibebaskan menjelang Oktober 2017.

    Rasanya tidak sabar untuk Aakash kembali ke pangkuan keluarga dan bertemu kembali saudara-mara serta sahabat handai ketika menghitung hari-hari yang berbaki sebelum dia akan dibebaskan.

    Di sebalik rasa gembira, namun jauh di sudut hatinya ada perasaan ragu serta takut kerana apabila keluar dari “tirai besi”, dia juga akan dikenali sebagai ‘bekas banduan’.

    Aakash (bukan nama sebenar) merupakan antara penghuni Rumah Perantaraan (RP) Negeri Selangor di Semenyih, Selangor. – Bernama
    Aakash (bukan nama sebenar) semakin yakin dan bersedia untuk kembali kepada kehidupan di luar penjara sebaik menjalani program Rumah Perantaraan (RP) ketika ditemu ramah Bernama, baru-baru ini. – Bernama

    “Saya tak tahu sama ada emak dan ayah masih menganggap saya sebagai anak mereka atau tidak. Ini kerana, ayah hanya melawat saya sekali sahaja manakala emak dan adik-beradik lain langsung tak pernah datang.

    “Tetapi, saya tahu adik-beradik memang tak boleh terima saya lagi. Tambah membimbangkan mahukah masyarakat menerima saya sedangkan keluarga sendiri tidak,” kata Aakash kepada Bernama dalam satu temubual baru-baru ini.

    Harap sokongan keluarga

    Sebagai seorang lelaki, Aakash cuba sedaya upaya mengekang air matanya daripada menitis tatkala bercerita kepada penulis mengenai hal keluarganya.

    Namun sekuat manapun dia cuba menahan perasaan, air matanya mula bergenang tatkala dia menyatakan kesalnya kerana terlibat dalam kegiatan jenayah.

    Dia juga sedih kerana tidak mendapat sokongan keluarga pada saat dia memerlukan mereka. Aakash bagaimanapun menyatakan dia tidak terasa hati,

    Keluarga mana yang tidak malu apabila anaknya melakukan jenayah? Apatah lagi apabila ia melibatkan jenayah yang amat dibenci masyarakat iaitu samun menggunakan kekerasan dan senjata parang hanya semata-mata mahu memenuhi nafsu tanpa mengira keadaan mangsa, muda mahupun tua.

    “Semuanya kerana ingin hidup mewah. Saya lahir dalam keluarga sederhana, emak tak bekerja dan ayah buat perniagaan kecil-kecilan. Awalnya, saya bekerja dengan ayah tetapi apabila kawan asyik pengaruhi barangan mewah dengan menyamun, saya mula tertarik hati.

    “Pada umur 32 tahun, saya mula buat jenayah samun dan kehidupan ketika itu memang agak mewah. Boleh beli telefon bimbit jenama mahal, baju berjenama,” katanya.

    Kelekaan Aakash dengan keseronokan dan berlagak sebagai Orang Kaya Baharu hasil daripada kegiatan jenayahnya tidak bertahan lama, bak peribahasa “Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua”. Aakash akhirnya berjaya diberkas polis.

    “Ketika buat jenayah, memang seronok tetapi apabila masuk penjara baru tahu rasa sakit dan menyesal teramat sangat. Bagaimanapun, penjara banyak mengajar erti kehidupan dan saya mahu berubah menjadi orang yang berguna.

    “Saya ingin bekerja dan membantu emak dan ayah, lagipun saya masih muda tetapi orang selalu pandang serong pada bekas banduan, tak boleh dipercayai. Bolehkah saya dapat kerja selepas bebas nanti?,” katanya.

    Rumah perantaraan

    Bagaimanapun, segala perasaan negatif yang menyelubungi Aakash itu adalah ketika dia belum menjadi penghuni Rumah Perantaraan (RP) Negeri Selangor di Semenyih, Selangor. Sebelum dibebaskan, dia ldietakkan di bawah pembebasan bersyarat atau parol pada Julai 2017 dan ditempatkan di RP yang dikendalikan oleh Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan pertubuhan bukan kerajaan.

    Saat dia diberi parol, Aakash semakin yakin dan bersedia untuk kembali kepada kehidupan di luar penjara dan menyesuaikan diri dengan kehidupan bermasyarakat. Lebih dikenali sebagai ‘Orang Diparol (ODP), Aakash merupakan antara 10 penghuni ODP di RP itu yang menjalani proses pemulihan di luar tembok atas inisiatif JPM.

    “Saya mendapat parol dan memilih untuk menghabiskan baki hukuman di rumah perantaraan. Di sini saya berpeluang bekerja dan menyesuaikan diri dengan masyarakat.

    “Saya bekerja di kilang besi buruk berdekatan rumah ini. Melalui konsep sebegini, barulah saya percaya masih ada lagi masa hadapan buat saya,” katanya.

    Kurangkan kadar jenayah

    Menurut Pengarah Dasar Kepenjaraan, Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak, tujuan utama mewujudkan RP adalah untuk memberi peluang kedua kepada bekas banduan untuk mencari tapak baharu dalam kehidupan bermasyarakat.

    Rijal (bukan nama sebenar) merupakan seorang penghuni Rumah Perantaraan Negeri Selangor di Semenyih, Selangor. Rumah Perantaraan atau RP ialah keseinambungan program pemulihan dan penyeliaan lebih berkesan. – Bernama

    “Untuk ODP, jenayah yang dapat pelepasan parol ada terkandung dalam akta penjara, mana yang layak dan sebaliknya. Bagi yang layak parol, syaratnya perlu bekerja dan tidak boleh tinggal berseorangan di rumah kerana perlu ada penjamin.

    “Sekiranya keluarga tidak boleh terima dan majikan tidak menyediakan tempat penginapan, ODP ini akan tinggal di rumah perantaraan. Jika enggan, mereka boleh menjalani baki hukuman di penjara sehinggalah tarikh dibebaskan,” katanya.

    Mengenai isu bekas banduan dan ODP terlibat balik dengan jenayah, beliau menjelaskan perkara itu berlaku antaranya kerana keluarga enggan menerima mereka kembali serta tidak mempunyai saudara-mara atau adik beradik sebagai tempat bergantung.

    Sikap masyarakat yang memberi label negatif kepada bekas banduan turut menyebabkan mereka terjerumus semula melakukan jenayah.

    “Masyarakat adalah penjara kedua buat mereka. Kalau mental tak kuat dan tak dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat, mereka mudah terjebak kembali dengan jenayah,” kata Abdul Aziz.

    Strategi JPM

    Mengakui bukan mudah mendapatkan pekerjaan untuk bekas banduan dan ODP, Abdul Aziz berkata JPM menyusun strategi dengan menetapkan lokasi RP di kawasan perumahan masyarakat.

    “Pada peringkat awal, masyarakat sekeliling memang tak mahu ada RP di kawasan perumahan mereka. Bagaimanapun, apabila setiap penghuni ODP dikehendaki menjalankan aktiviti kemasyarakatan pada hujung minggu seperti membersihkan kawasan taman, surau, bantu kenduri-kendara, lama kelamaan masyarakat menerima mereka dan gembira dengan kehadiran mereka.

    “Begitu juga dengan pekerjaan. Kalau dahulu, pegawai parol yang berbaju biru ini akan mencari pekerjaan untuk penghuni RP, sekarang ini majikan yang mencari mereka. Majikan percaya kepada mereka kerana setiap ODP diawasi setiap masa oleh pegawai parol.

    “Tidak kiralah pergi ke tempat kerja, pelbagai pemeriksaan dilakukan termasuklah air kencing, jadi lama kelamaan semakin ramai majikan ingin menggunakan khidmat mereka,” katanya.

    Biarpun langkah berkenaan satu perkembangan yang memberangsangkan, Abdul Aziz berkata Jabatan Penjara sentiasa memastikan kebajikan penghuni rumah perantaraan tidak disalahgunakan oleh majikan.

    Antaranya gaji diterima pada jumlah yang sepatutnya serta dicarumkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Pekerja (Perkeso).

    Berjaya kurangkan kesalahan berulang

    ???????Dengan adanya pelancaran program ini, Jabatan Penjara telah mengorak ke arah satu dimensi baru dalam sistem pemulihan banduan yang tidak lagi tertumpu di dalam tembok penjara semata-mata. Malah langkah berkenaan merintis landasan pemulihan dari dalam ke luar tirai besi.

    Program RP adalah antara 50 inisiatif yang terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi mengurangkan kadar jenayah dalam negara ini dan ternyata ia berjaya merealisasikan matlamat berkenaan.

    “Untuk program pemulihan di luar tembok kita ada sistem parol, Pusat Kehadiran Wajib (PKW), Pusat Pemulihan Pemasyarakatan (PPP) selain Rumah Perantaraan.

    “Sebelum pelaksanaan program ini, kadar residivis iaitu kesalahan berulang oleh banduan ialah 13.64 peratus. Bagaimanapun, sejak program pemulihan ini dilaksanakan termasuk RP, kadar residivis berjaya dikurangkan. Tahun lepas kadar residivis ialah 8.64,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda