Usaha bantu mangsa banjir terus dilaksana

KUALA LUMPUR, 20 DIS – Usaha memindahkan penduduk yang masih terperangkap dalam bencana banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, dilipatgandakan dengan penggunaan 41 bot, 16 lori dan aset lain hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri dalam catatan di akaun Facebook beliau hari ini, berkata pemindahan lebih 500 mangsa banjir sudah bermula sejak Jumaat lepas, melibatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dari balai JBPM Shah Alam, Subang Jaya dan Puchong.

“Saya memahami kebimbangan rakyat terhadap mereka yang masih terkandas dan seperti yang saya tegaskan, usaha menyelamat sedang giat dilipatgandakan. Kerja menyelamat dilaksanakan tanpa henti,” katanya.

Perdana Menteri berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyediakan makanan bermasak untuk dihantar ke rumah mangsa dan pusat pemindahan sementara (PPS).

Ismail Sabri berkata beliau akan terus memantau perkembangan tersebut dan berdoa semoga keadaan kembali pulih seperti sedia kala.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada anggota pelbagai agensi yang sehingga kini masih bekerja keras tanpa henti.

Perdana Menteri turut berterima kasih kepada sukarelawan, badan bukan kerajaan dan ahli Keluarga Malaysia termasuk wakil rakyat yang menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana. – Bernama

Sebahagian mangsa banjir yang masih terkandas di Taman Seri Muda Seksyen 25 Shah Alam, kelmarin. – Bernama