Usaha bantu pelajar kurang berkemampuan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jan – Dalam usaha membantu serta meringankan bebanan pelajar dan murid yang kurang berkemampuan kembali bersekolah di permulaan tahun persekolahan 2017, Persatuan Bulan Sabit Merah Negara Brunei Darussalam (PBSM NBD) akan mengadakan Projek Ikhlas 5.0 Sumbangan Barang Asasi Persekolahan 2017 pada 8 Januari di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Melalui projek itu, PBSM NBD mengalu-alukan sumbangan infaq jariah barangan keperluan asasi persekolahan daripada orang ramai untuk membantu meringankan beban bagi lebih 100 orang murid dan pelajar dari Tahun 1 hingga 11 di seluruh negara terdiri daripada kalangan kanak-kanak dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Pihak persatuan berkata bahawa sumbangan keperluan asasi persekolahan yang diperlukan bagi projek berkenaan adalah beg sekolah, pakaian seragam, alat tulis, buku kerja atau latihan, kasut, songkok atau tudung sekolah dan keperluan sekolah yang lain.

Pihak persatuan menyatakan lagi bahawa mereka tidak akan menerima sumbangan lain selain daripada barang keperluan asasi persekolahan yang diperlukan serta berhak untuk menolak sumbangan barangan terpakai jika didapati tidak munasabah. Projek itu, ulas pihak persatuan, dilaksanakan untuk memberikan peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan serta untuk memupuk semangat prihatin dan memeduli kanak-kanak dari keluarga yang kurang berkemampuan.

Usaha itu juga diharap dapat memupuk rasa tanggungjawab sesama manusia dalam menangani dan memberi ruang serta berpeluang untuk melahirkan generasi muda yang cerdik, pintar dan berpendidikan tinggi menuju ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Orang ramai yang ingin untuk menghulurkan sumbangan, mereka dialu-alukan untuk menghantar terus sumbangan mereka ke Bilik 8, Letak Kereta VVIP, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada hari itu nanti.