KUALA LUMPUR, 24 OGOS – Pandemik COVID telah membantutkan usaha membasmi kemiskinan di Asia dan Pasifik sekurang-kurangnya bagi tempoh dua tahun dan ramai penduduk di rantau ini berdepan kesukaran untuk keluar daripada kemiskinan berbanding sebelum ini, menurut laporan dari Bank Pembangunan Asia (ADB).
Menurut laporan Indikator Utama untuk Asia da Pasifik 2022 yang dikeluarkan pada awal Rabu, pertumbuhan ekonomi rantau ini bagi 2022 dijangka dapat mengurangkan kemiskinan tegar, ditakrifkan sebagai berpendapatan kurang daripada AS$1.90 sehari kepada tahap yang sepatutnya dicapai pada 2020 sekiranya pandemik itu tidak berlaku.
“Ekoran daripada kekurangan data yang diperoleh, adalah agak mencabar untuk menjangkakan sama ada pandemik COVID mungkin telah membentuk semula mobiliti sosial. Bagaimanapun, simulasi data menunjukkan bahawa masyarakat yang mempunyai tahap mobiliti sosial yang lebih rendah di rantau ini mungkin mengalami kemelaratan berpanjangan,” tambahnya.
Laporan itu menekankan bahawa krisis COVID telah mengganggu trend menghapuskan kemiskinan di Asia dan Pasifik. Walaupun ekonomi di rantau ini semakin pulih, kemajuan yang dicapai adalah tidak seperti yang dilaporkan kerana pandemik juga mungkin telah memburukkan lagi bentuk kemiskinan berbanding pendapatan seperti kekurangan bekalan makanan dan akses tidak mencukupi kepada perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, menurut laporan itu.
Laporan itu menambah bahawa dalam kalangan ekonomi Asia yang sedang membangun dengan data yang tersedia, kira-kira 69 peratus negara Asia dan Pasifik mempunyai pengagihan prospek ekonomi yang kurang saksama berbanding tahap ketidaksamaan pendapatan sebelum COVID menular.
Ini menunjukkan walaupun sebelum pandemik berlaku, saiz jurang jangka panjang antara golongan miskin bersama tidak miskin adalah lebih besar daripada tahap ketidaksamaan pendapatan yang ditunjukkan di banyak bahagian di rantau ini, jelas laporan itu.
Ketua Ahli Ekonomi ADB, Albert Park berkata golongan miskin dan rentan adalah kumpulan yang paling terjejas teruk akibat kesan COVID dan ketika ekonomi semakin pulih, ramai yang mungkin mendapati bahawa keluar daripada kemiskinan adalah lebih sukar berbanding sebelum ini.
“Kerajaan di rantau ini perlu memberi tumpuan kepada daya tahan, inovasi dan keterangkuman untuk menyediakan peluang ekonomi yang lebih seimbang dan mobiliti sosial yang lebih besar kepada setiap orang,” katanya.
Menurut laporan itu, menjelang 2030, kemiskinan tegar yang berleluasa di rantau ini dijangka berkurangan di bawah satu peratus dan pada masa yang sama, kira-kira 25 peratus daripada penduduk diunjurkan mencapai sekurang-kurangnya status kelas pertengahan, ditakrifkan sebagai mempunyai pendapatan atau penggunaan sebanyak AS$15 atau lebih dalam sehari, dilaraskan untuk kesetaraan kuasa beli. – Bernama