LAKE ELSINORE, California, 12 Ogos – Anggota bomba telah membuat satu kemajuan yang signifikan dalam usaha cuba menghalang kebakaran hutan dari terus merebak mengancam kediaman penduduk dan telah melanda selama beberapa hari di selatan Los Angeles, menurut pegawai semalam.
Pesawat telah melakukan operasi memadam secara berterusan, membuang air dan bahan perencat untuk melindungi Tasik Elsinore dan kaki bukit yang lain ketika api meranapkan hutan kering di Hutan Kebangsaan Cleveland.
Kebakaran yang digelar sebagai ‘The Holy Fire’ itu bermula Isnin lepas, merebak seluas hampir 85 kilometer persegi (33 batu persegi) sehingga pagi kelmarin.
Namun, anggota bomba juga berjaya membendung kebakaran itu dari terus meningkat 10 hingga 29 peratus.

Suhu kepanasan yang tinggi dan rumput kering telah membuatkan usaha memadam kebakaran menjadi sukar bagi anggota bomba.
Sesetengah bukit dibiarkan terbakar di bawah pemerhatian pihak keselamatan sebagai cara untuk mengurangkan bahan api dan menjadikannya lebih sukar untuk terus merebak jika keadaan angin kencang.
Meskipun kebakaran merebak ke beberapa buah kabin hutan sebelum ini, hanya sebuah rumah yang dilaporkan terbakar Khamis lalu ketika anggota bomba berjaya membendung kebakaran dari terus merebak menuruni bukit.
Semalam, pegawai telah membenarkan beberapa penduduk untuk kembali ke rumah mereka di Tasik Elsinore, namun mereka masih berada di bawah perintah pemindahan. – AP