Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Dengan matlamat untuk mengeratkan hubungan silaturahim, Pusat Reintegrasi, Aftercare Supportive Association (AFSA) dan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) mengadakan aktiviti tahunan bersama yang berlangsung di Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas, kelmarin.
Hadir semasa aktiviti berkenaan ialah Ketua Unit Kaunseling PDI, Haji Badaruddin bin Haji Besar; Yang Di-Pertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya; Timbalan Ketua Pusat Reintegrasi, Awang Sabtu bin Haji Abdul Ghani, pegawai-pegawai dari ketiga-tiga agensi serta rakan seliaan (RS) dan keluarga mereka.
Aktiviti itu merupakan acara untuk berinteraksi dan bersosialisasi dengan RS bersama keluarga mereka bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara ketiga-tiga agensi berkenaan.
Usaha itu merupakan salah satu usaha murni ketiga-tiga agensi bagi menyantuni dan memeduli RS dari semasa ke semasa.
Timbalan Yang Di-Pertua AFSA, Haji Mustapa bin Haji Masri menjelaskan bahawa program itu adalah amat relevan dan bersesuaian bagi mengisi masa RS di waktu cuti persekolahan.
Peluang itu dapat memberi ruang kepada mereka berinteraksi bersama kawan dan keluarga.
“Pihak yang berkepentingan dan agensi-agensi yang lain diseru supaya dapat melaksanakan aktiviti serupa ini agar mereka dapat menanamkan sikap positif dalam diri mereka.”
Beliau berkata lagi, “Pemeduliaan masyarakat amatlah pen-ting dalam sama-sama menyantuni mereka ini.”
Pelbagai aktiviti diadakan semasa program berkenaan termasuk sesi senamrobik, tazkirah dan permainan yang menjurus kepada kemahiran berfikir, membuat keputusan, komunikasi serta kerjasama di antara mereka sendiri.
Pada akhir program berkenaan, sumbangan bantuan barang keperluan asasi telah dihulurkan oleh pihak AFSA.