Saturday, January 18, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha berterusan pulihara khazanah

    LENGGONG – Diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), semestinya Lembah Lenggong terus dipelihara sebagai warisan arkeologi Malaysia yang tiada tolok banding nilainya.

    Pelbagai artifak sejarah ditemui di tapak yang kini diketahui kawasan tempat tinggal manusia paling awal di Semenanjung Malaysia, termasuk paling signifikan, rangka
    manusia dari zaman batu era paleolitik, Perak Man.

    Menurut Pengarah Bahagian Warisan Dunia, Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohd Syahrin Abdullah, penjagaan dan perlindungan Lembah Lenggong untuk generasi akan datang penting sebagai bahan rujukan untuk mengetahui asal usul kerana ia berkaitan bukti kewujudan manusia terawal di Malaysia dan antara yang tertua di dunia.

    Beliau merujuk kepada rangka yang ditemui di Gua Gunung Runtuh, Bukit Kepala Gajah, Lembah Lenggong (Hulu Perak) yang berada dalam keadaan hampir sempurna dan tertua pernah ditemui di Malaysia malah di Asia Tenggara, dianggarkan pernah hidup kira-kira 10,000 hingga 11,000 tahun lepas.

    Mohd Syahrin yang menyandang jawatan itu sejak tahun 2015 berkata, pelbagai usaha dilakukan bagi meyakinkan pihak UNESCO dalam aspek penjagaan dan melindungi Lembah Lenggong bermula dengan pengiktirafan berserta mekanisme dan pelan pengurusan.

    Replika rangka Perak Man yang ditemui di Gua Gunung Runtuh terletak di Bukit Kepala Gajah membuktikan kewujudan manusia terawal yang tersimpan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. – Bernama
    Masjid Raja adalah sebuah bangunan bersejarah yang dibina pada 1541, masih tersergam kukuh dan kini telah menjadi bangunan warisan tarikan pelancong yang terletak di Kampung Chepor, Lenggong. – Bernama
    Kompleks Bukit Kepala Gajah yang meliputi Gua Kelawar, Gua Harimau dan Gua Gunung Runtuh merupakan antara destinasi menarik untuk pengunjung melawat Lembah Lenggong yang terletak di Lenggong. – Bernama
    Alat-alat batu, tembikar dan logam yang ditemui sekitar Lembah Lenggong membuktikan kewujudan manusia terawal yang tersimpan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong. – Bernama

    Untuk rekod, Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia semasa mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-36 di St Petersburg, Rusia pada 30 Jun 2012.

    “Kita ada pelan pengurusan dan alhamdulillah ia dapat meyakinkan mereka (UNESCO) untuk kita mendapat pengiktirafan ini,” katanya kepada Bernama sambil menyifatkan pengiktirafan itu sebagai langkah pemeliharaan awal kawasan tersebut.

    USAHA KEKAL STATUS

    Selain perlu memastikan status itu kekal berdasarkan dokumen rancangan pengurusan pemuliharaan (CMP) yang disediakan dan diwartakan di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, terdapat beberapa perkara tertakluk di bawah akta kendalian JWN.

    “Kita wujudkan satu dokumen yang menjadi punca kuasa untuk menyediakan tapak.

    Daripada dokumen itulah kita laksanakan aspek pemantauan, kebenaran merancang dan lain-lain.

    “Seterusnya, bagi tujuan pengekalan status, kita perlu mengambil langkah yang berkaitan perlindungan dan pemantauan tapak termasuk memastikan kesesuaian tapak untuk kunjungan pelawat.

    “JWN memasang pagar di semua gua di kawasan Lembah Lenggong dan menyediakan pelantar kayu bagi tujuan mengelakkan berlaku kerosakan terhadap kawasan sekitar selain memberi kemudahan kepada pelancong,” katanya menambah, sebanyak RM25 juta dibelanjakan untuk tujuan pemeliharaan dan perlindungan Lembah Lenggong sejak mendapat pengiktirafan UNESCO.

    Menurut Mohd Syahrin, kebanyakan kerja dilakukan di belakang tabir seperti mengukur tapak bagi menentukan sempadan kawasan, penyediaan dokumen CMP yang mengandungi pelan utama berkaitan pembangunan tapak dan produk pelancongan di sekitar kawasan itu untuk dijadikan nilai tambah serta pembangunan tanah mengikut fasa.

    “Kesemua itu kerja di belakang tabir, orang tak nampak tetapi kita perlu bergerak lebih ke hadapan. Kita usaha sehabis baik untuk jadikan Lembah Lenggong ini bersedia untuk menerima lebih ramai pelancong pada masa akan datang,” katanya.

    DI BAWAH MAJLIS DAERAH LENGGONG

    Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Lenggong (MDL), Mohd Amzari Mohd Arzami berkata, pihaknya menguruskan Lembah Lenggong selepas mendapat amanah dan dana daripada kerajaan negeri, di samping kerjasama komuniti setempat turut membantu.

    Lembah Lenggong yang juga diiktiraf sebagai kawasan Geopark iaitu Lenggong Geopark pada tahun 2021, adalah Geopark kedua di Perak selepas Kinta Geopark.

    “MDL menerima amanat daripada kerajaan negeri untuk mengurus selia bermula tahun ini (2023) di beberapa kawasan tapak UNESCO.

    “Terdapat lapan kawasan utama Tapak Warisan Dunia di Lenggong dengan empat diuruskan pihak JWN iaitu Bukit Bunuh, Kota Tampan, Bukit Jawa dan Galeri Arkeologi, manakala MDL menjaga kawasan Kompleks Gua Kajang, Gua Teluk Kelawar, Gua Harimau dan Gua Gunung Runtuh.

    Menyentuh aspek promosi, beliau berkata, MDL menerima peruntukan daripada Kerajaan Negeri Perak, Kerajaan Persekutuan, peruntukan Ahli Parlimen Lenggong serta ADUN Kota Tampan.

    KERJASAMA KOMUNITI

    Meskipun usaha pemeliharaan dan pembangunan Lenggong boleh dilakukan dengan memohon peruntukan pihak berkaitan namun yang paling utama ialah mendidik komuniti setempat untuk sama-sama menjaga aset yang ada.

    Mohd Amzari berkata, pihaknya banyak menekankan pendidikan serta melatih komuniti melalui program, kursus dan latihan tanpa memerlukan modal besar sebaliknya memanfaatkan peruntukan yang diterima daripada jabatan dan agensi terlibat.

    Menurut beliau, fokus MDL kini ialah melatih jurupandu untuk membawa pelancong yang datang melawat ke kawasan sekitar agar mereka boleh menjana pendapatan dari Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Geopark serta pada masa sama membantu MDL menguruskan kawasan berkenaan.

    Komuniti setempat, kata beliau boleh menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ pihak majlis jika ada berlaku kerosakan harta benda.

    “Contohnya di Kompleks Gua Kajang, komuniti mendaki Lenggong yang jaga sekarang ini bekerjasama dengan kami, dari segi memberi input apa yang perlu ditambah baik.

    “Isu sampah, kebersihan dan keselamatan antara yang dibangkitkan dan kita MDL akan sediakan keperluan yang bersesuaian,” katanya.

    PELBAGAI TARIKAN PELANCONGAN

    Mohd Amzari menjelaskan, apabila Galeri Arkeologi dan Galeri Geopark dibuka, pelancong boleh melawat ke lokasi berkenaan terlebih dahulu bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kawasan menarik di Lenggong.

    “Galeri Geopark akan dibuka penghujung tahun ini sebelum Tahun Melawat Perak 2024.

    Kita akan usahakan semua maklumat dalam fun map, terjemahkan dalam bentuk board dan letak di hujung galeri supaya pengunjung boleh tengok dan rujuk,” katanya.

    Antara kawasan lain yang disifatkan sebagai lokasi ‘wajib pergi’ ialah Boat Trip Tasik Raban dan River Cruise di Sungai Perak.

    “Pengunjung berpeluang menikmati pemandangan Tasik Raban dan Sungai Perak, kampung tradisional, singgah sangkar ikan dan kemudian singgah di kampung untuk minum petang, melihat budaya dan aktiviti orang kampung sekali gus membantu ekonomi penduduk setempat,” katanya.

    Selain itu, Kompleks Bukit Kepala Gajah yang meliputi Gua Kelawar, Gua Harimau dan Gua Gunung Runtuh kawasan rangka Perak Man ditemui juga adalah antara lokasi tarikan pengunjung.

    “Kawasan ini diduduki oleh orang zaman dulu. Ia bukan sahaja tapak warisan tetapi juga menjadi tarikan kepada mereka yang berminat untuk meneroka keindahan alam semula jadi, formasi batuan, flora dan fauna yang ada di kawasan Kompleks Bukit Kepala Gajah,” katanya menambah, pengunjung yang ingin masuk ke gua memerlukan kebenaran dan permit khas daripada MDL melalui jurupandu yang kini seramai 30 orang daripada komuniti tempatan.

    MDL juga menyediakan portal virtual tour supaya pengunjung dapat memilih lokasi pelancongan yang mereka minati. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda