Usaha bina keluarga harmoni

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 2 Jan – Enam buah keluarga dari Mukim Ukong telah menyertai Pertandingan Forum Keluarga yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Bukit dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, baru-baru ini.

Keluarga Al-Jannah dari Kampung Bukit muncul juara, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh keluarga Al-Fill dan keluarga Cahaya Pelita.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Shamsul Bahrin bin Haji Mohd Hussain.

Pertandingan yang diadakan di Masjid Kampung Bukit berkenaan menumpukan topik mengenai kepentingan dalam pembentukan institusi keluarga yang kukuh dan harmoni.

Para peserta pertandingan itu diwakili oleh tiga orang ahli keluarga terdiri daripada bapa selaku ketua keluarga, ibu, anak lelaki, anak perempuan, saudara lelaki dan saudara perempuan.

Pegawai Daerah Tutong menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Pegawai Daerah Tutong menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Semasa Pertandingan Forum Keluarga dijalankan di Masjid Kampung Bukit, Daerah Tutong.
Semasa Pertandingan Forum Keluarga dijalankan di Masjid Kampung Bukit, Daerah Tutong.

Setiap keluarga yang menyertai pertandingan tersebut mengulas isu-isu mengenai usaha mengekalkan dan membentuk kebahagiaan dan keharmonian berkeluarga.

Forum keluarga diadakan bagi memberi pengetahuan kepada setiap ahli keluarga betapa pentingnya institusi kekeluargaan dalam kehidupan seharian.

Ia juga diadakan sebagai wadah perbincangan dan berkongsi ilmu bagi membina sebuah keluarga yang harmoni serta menjana sahsiah peribadi yang unggul dan memantapkan kefahaman mengenai kehidupan keluarga berkualiti dan harmoni.

Di samping itu juga bagi melatih ahli-ahli panel untuk berani berhadapan di khalayak orang ramai melalui forum yang diadakan selain mengukuhkan lagi hubungan silaturahim antara satu keluarga dengan keluarga yang lain.