Usaha brunei tangani penularan dapat pujian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Usaha dan langkah-langkah yang dilaksanakan oleh Negara Brunei Darussalam dalam menangani penularan pandemik COVID-19 mendapat pujian daripada United Kingdom (UK) dan kejayaan Brunei dalam mengawal penularan COVID-19 boleh menjadi contoh serta dipelajari.

“Saya amat teruja kerana berpeluang untuk berada di sebuah negara yang dapat dilihat tidak terjejas teruk oleh COVID-19 dan ia adalah jauh berbeza daripada pengalaman saya yang menghabiskan tempoh lima bulan kebelakangan di United Kingdom di mana sebahagian besarnya dalam keadaan sekatan dan perintah berkurung (lockdown).”

UK pada masa ini sedang berusaha untuk memulihkan keadaan dengan membuka kembali negara berkenaan secara berhati-hati serta mencatatkan perkembangan yang baik dalam menangani virus berkenaan, jelas Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe yang baru dilantik dalam temu bual dengan Media Permata di Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Beliau berkata bahawa Brunei telah melaksanakan tugas yang cemerlang dalam usahanya untuk menangani penularan pandemik COVID-19 dan percaya, Brunei merupakan antara beberapa buah negara di dunia yang berjaya untuk menghapuskan jangkitan komuniti (community transmission) COVID-19.

“Ia merupakan satu pencapaian yang amat cemerlang oleh pihak berkuasa di Brunei dan setentunya komuniti British di Brunei mendapat manfaat daripada usaha berkenaan di mana kami amat bersyukur,” jelasnya lagi.

TYT John Virgoe menyatakan bahawa Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom akan terus menikmati hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang yang erat dan kukuh.

COVID-19 terus menjadi cabaran kepada dunia dan merupakan satu bidang kerjasama yang amat penting bagi UK secara global dan juga bersama ASEAN di mana semua pihak mengikuti berita perkembangan vaksin yang dihasilkan.

Ia merupakan contoh yang amat bertepatan di mana isu itu memerlukan kerjasama semua pihak di dunia. Beliau menambah lagi bahawa kejayaan Brunei dalam mengawal penularan pandemik COVID-19 merupakan satu kejayaan yang perlu dijadikan contoh serta dipelajari bersama.

Mengulas mengenai hubungan dua hala antara Brunei dan UK, beliau menekankan bahawa hubungan kedua-dua buah negara terus kukuh dan mempunyai hubungan istimewa dan mendalam di mana ia meliputi pelbagai bidang termasuk hubungan yang erat antara keluarga diraja kedua-dua buah negara, hubungan antara penduduk, hubungan pertahanan, pendidikan dan perdagangan.

TYT John Virgoe juga menyatakan perasaan amat gembira kerana dapat mengalu-alukan para pelajar dari Brunei untuk kembali melanjutkan pengajian mereka di UK bagi permulaan semester baharu di mana universiti-universiti di negara berkenaan akan melaksanakan pengajaran campuran iaitu gabungan pengajaran secara bersemuka dan pengajaran secara dalam talian.

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa Brunei dan UK juga mempunyai hubungan ekonomi yang erat bukan sahaja dalam bidang minyak dan gas tetapi menerusi pelaburan Brunei di UK dan pelaburan UK di Brunei.

“Kami melihat Brunei sebagai rakan yang erat dan sahabat baik bagi UK di Asia Tenggara selama lebih 120 tahun,” ujarnya.

Hubungan itu, ulasnya lagi, adalah amat penting bagi UK di mana negara berkenaan telah keluar daripada Kesatuan Eropah pada Januari 2020 dan pada masa ini sedang berusaha untuk menstrukturkan semula hubungan dengan rakan-rakan di seluruh dunia khususnya rakan-rakan di rantau Indo-Pasifik di mana beliau percaya bahawa ASEAN memainkan peranan yang penting dalam usaha berkenaan.

TYT John Virgoe menyatakan bahawa akan memberikan penekanan kepada tiga perkara utama sebagai pesuruhjaya British ke Negara Brunei Darussalam dengan pertama untuk terus memastikan akan menyumbang kepada mengeratkan lagi hubungan dengan rakan-rakan di rantau Indo-Pasifik di mana UK akan terus mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama dengan Brunei.

Perkara kedua yang akan terus ditekankan, jelasnya, ialah hubungan bersama ASEAN di mana UK sedang berusaha untuk menjalinkan hubungan dua hala serta menjadi rakan dialog ASEAN.

Beliau percaya, dengan Negara Brunei Darussalam yang bakal menjadi pengerusi ASEAN pada 2021, ia merupakan peluang yang amat baik bagi kedua-dua buah negara untuk bekerjasama ke arah hubungan ASEAN dan UK yang lebih erat.

Keutamaan ketiga baginya ialah perubahan iklim di mana UK akan menjadi hos bagi Persidangan Perubahan Iklim pada 2021.

UK berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Brunei yang juga menjadi pengerusi ASEAN pada 2021, dalam mencari kaedah untuk bergerak menuju ke arah ekonomi rendah karbon di mana kita akan melindungi alam sekitar serta mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau.

Pada masa yang sama, akan menyokong usaha Brunei khususnya dalam pelaksanaan Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam di mana beliau percaya ia merupakan rangka kerja yang amat baik serta mengenal pasti beberapa bidang kerja di mana pihaknya iaitu Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam dapat bekerjasama untuk menyokong Brunei ke arah mencapai matlamatnya dalam menangani perubahan iklim.