KUALA LUMPUR, 16 MAC – Perlunya untuk memastikan usaha bersama dalam menggiatkan semula rantau ini akan membawa kepada masa depan yang lebih berdaya tahan dan makmur terutama ketika rantau Asia Tenggara kini telah mula keluar daripada penularan pandemik, demikian menurut Presiden Bank Pembangunan Asia (ADB), Masatsugu Asakawa.
Beliau seterusnya menggesa agar semua pihak bekerjasama untuk mempercepatkan usaha menyokong pemulihan yang inklusif dan mampan.
Untuk menggalakkan pemulihan yang inklusif semasa pandemik, beliau berkata ADB telah menyediakan pakej komprehensif bernilai AS$20 bilion untuk menyokong kerajaan dengan pembiayaan bagi langkah-langkah rangsangan yang tertumpu kepada golongan miskin dan rentan. ADB turut melancarkan Kemudahan Akses Vaksin Asia Pasifik bernilai AS$9 bilion untuk membantu memastikan akses yang pantas dan saksama kepada vaksin.
“Pemulihan itu juga perlu memperkasakan wanita dan memastikan ekonomi berfungsi untuk semua orang. Untuk berbuat demikian, kita perlu menggiatkan semula rantaian nilai dan sistem perdagangan dengan cara yang boleh meningkatkan kehidupan jutaan penduduk.
“Pemulihan di Asia Tenggara juga memerlukan industri pelancongan yang digiatkan semula,” katanya dalam ucaptama pada acara tahunan ketiga – Simposium Pembangunan Asia Tenggara bertemakan
“Penyelesaian Mampan untuk Pemulihan Asia Tenggara”’ hari ini.
Asakawa berkata tahun lalu, ADB telah menubuhkan Hab Pelancongan Asia Tenggara baharunya untuk membantu negara-negara menyediakan projek pelancongan yang mampan alam sekitar, menyokong usahawan tempatan dan meningkatkan hasil.
Laman sesawang Hab Pelancongan akan dilancarkan hari ini.
Asakawa menekankan kepentingan untuk mendapatkan pemulihan yang mampan dan untuk mencapainya, terdapat keperluan untuk mempergiatkan tumpuan terhadap perubahan iklim.
“Dalam hal ini, ADB telah membantu merealisasikan cita-cita kita dengan pembiayaan iklim kumulatif bernilai AS$100 bilion antara 2019 dan 2030,” katanya. – Bernama