Usaha China pulihara biodiversiti dapat pujian

BEIJING, 10 OKT – China telah mencapai kejayaan memberangsangkan dalam usahanya memulihara biodiversiti, kata Setiausaha Eksekutif Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD), Elizabeth Maruma Mrema.

Beliau berkata China juga antara negara paling awal menyertai CBD.

“China telah membina 11,800 zon perlindungan alam semula jadi yang melebihi 170 juta hektar pada keseluruhannya, iaitu 18 peratus daripada keluasan darat negara itu.

“Di samping itu, China juga melaksanakan tempoh moratorium selama 10 tahun di Sungai Yangtze bagi memulihara biodiversiti akuatik,” katanya pada sidang media pertama menjelang sesi ke-15 Persidangan Pihak Penandatangan (COP-15) CBD yang bakal membuka tirai di Kunming, provinsi Yunnan China, esok. Mrema turut merakamkan ucapan terima kasih atas usaha China bagi menjayakan penganjuran COP-15 secara hibrid.

Beliau juga menghargai usaha memelihara biodiversiti dan kepelbagaian budaya yang dilaksanakan provinsi Yunnan.

“Walaupun keluasannya hanya 4.1 peratus daripada wilayah daratan China, namun Yunnan mempunyai 19,000 spesies tumbuh-tumbuhan daripada kesemua 30,000 di negara itu.

“Selain itu, Yunnan juga berbilang kaum dan mempunyai budaya yang pelbagai,” katanya. – Bernama