Usaha dekati masyarakat secara lebih berkesan

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 16 Jan – Dalam usaha untuk mendekati masyarakat secara lebih berkesan, jawatankuasa perundingan majlis mesyuarat mengikut zon akan segera dibentuk sedikit masa lagi.

Ia akan dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan yang melibatkan pelbagai pihak seperti pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan, agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung.

Sementara itu, sesi perjumpaan yang dihasratkan untuk bersama-sama mengongsikan pandangan, demi kepentingan kemajuan Daerah Belait, akan dilakukan mengikut kumpulan-kumpulan yang tertentu sebagai tumpuan khusus dan lantikan ahli-ahli jawatankuasa bagi setiap kumpulan berkenaan juga akan dilakukan.

Perkara ini dinyatakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Daerah Belait yang baru dilantik, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin yang juga selaku penghulu Mukim Liang, semasa temu bual bersama Media Permata, di sini, hari ini.

Beliau dalam menyampaikan harapannya turut berkata, semasa perjumpaan dengan kumpulan-kumpulan berkenaan, cadangan-cadangan yang baik dan mantap untuk pembangunan bersama lebih baik jika dihadapkan dalam bentuk kertas kerja untuk difikirkan bersama kemudian akan diproses jika ia bersesuaian untuk dimajukan.

Beliau berkata demikian semasa ditanya apakah harapannya bagi sama-sama memajukan masyarakat dan daerah ini, setelah terpilih menjadi ahli MMN baru-baru ini, sambil menambah kata, kerjasama dan sokongan daripada masyarakat juga penting dalam usaha untuk terus memajukan mukim dan kampung di daerah ini.

Yang Berhormat seterusnya berkata, beliau bersama seorang lagi ahli MMN Daerah Belait yang baru dilantik, Yang Berhormat Awang Hanafi bin Mohd Siput akan berusaha seberapa boleh untuk menunaikan tugas dan tanggungjawab bersama dan akan berusaha ke arah membangunkan masyarakat bukan saja di mukim dan kampung tetapi juga negara pada amnya.

Yang Berhormat Haji Abdul Hamid (kiri) dan Yang Berhormat Awang Hanafi.
Yang Berhormat Haji Abdul Hamid (kiri) dan Yang Berhormat Awang Hanafi.

Di samping itu mereka juga berharap seluruh masyarakat serta pihak swasta, agensi kerajaan dan sebagainya akan dapat memberikan kerjasama dalam memberikan sumbangan berupa pandangan yang membina bagi sama-sama meningkatkan lagi pembangunan bangsa dan negara sehingga mencapai hasrat menuju ke arah Wawasan Negara 2035.

Yang Berhormat Haji Abdul Hamid, 67, dan Ketua Kampung Labi 1 yang juga Pemangku Penghulu Mukim Labi, Yang Berhormat Awang Hanafi, 53, merupakan dua orang daripada lapan orang yang tersenarai pencalonan bagi pemilihan ahli MMN Daerah Belait yang terdiri daripada kalangan penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di daerah ini.

Ditanya perasaan mereka setelah mengetahui tentang lantikan itu, mereka mempunyai perasaan yang berbeza tetapi tetap sama iaitu terus terfikir bahawa tugas dan tanggungjawab yang mereka perlu tunaikan adalah semakin besar dan mencabar demi kepentingan masyarakat dan negara.

“Semasa pengumuman, saya sedang menghadiri Mesyuarat Majlis Perundingan Mukim (MPM) Liang di Kelab Rekreasi Sungai Liang (LLRC) dan tidak mengetahuinya sehinggalah salah seorang daripada ahli MPM menyampaikan ucapan tahniah kepada saya, pada awalnya saya juga hairan akan ucapan itu, tetapi kemudian dijelaskan bahawa saya telah terpilih menjadi ahli Majlis Mesyuarat Negara bagi Daerah Belait,” kata Yang Berhormat Haji Abdul Hamid.