Monday, October 7, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha gigih kunci kejayaan Hidayatullah jadi pemain terbaik

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Usaha gigih dan berterusan mengingati diri sendiri agar tidak terlalu selesa merupakan kunci kejayaan pemenang Pemain Terbaik Liga Perdana Brunei DST 2017, Mohd Nor Hidayatullah bin Haji Zaini baru-baru ini.

    Pemain IKLS FC berusia 26 tahun itu menambah usaha gigihnya dan terus mengekalkan semangat untuk mencapai kejayaan lain di masa akan datang bukan hanya untuk diri sendiri, bahkan untuk kelabnya juga.

    Mengulas mengenai perancangan selepas musim 2017 melabuhkan tirainya, beliau menegaskan persiapan rapi memberi impak kepada para pemain, ini termasuk penjagaan makanan harian, meningkatkan stamina, mendapatkan rehat secukupnya adalah penting untuk persiapan bagi saingan liga super musim hadapan.

    “Sejujurnya kemenangan ini adalah di luar jangkaan saya kerana sememangnya ramai lagi pemain-pemain lain yang boleh meraih gelaran tersebut (pemain terbaik). Namun setentunya saya berasa sangat teruja dan bersyukur atas kemenangan yang diberikan,” ujarnya.

    Mengulas mengenai kelab IKLS FC pada musim ini, kerjasama antara pemain dalam latihan dan pembelajaran di dalam dan luar padang adalah antara kualiti yang baginya menjadi pemangkin kepada naib juara Liga Perdana Brunei DST itu.

    Pemain IKLS FC, Mohd Nor Hidayatullah ketika dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Perdana DST 2017 baru-baru ini. – Gambar oleh Hasrulraizan

    “Permainan bola sepak sudah menjadi hobi saya sejak zaman sekolah rendah lagi. Saya amat beruntung dan teruja apabila sesuatu yang dulunya dianggap sebagai permainan kanak-kanak, kini telah membawa saya ke satu tahap yang tinggi, di mana saya diberi peluang untuk beraksi di padang bersama pemain-pemain yang lebih berpengalaman daripada saya,” ujarnya mengenai motivasi diri.

    Harapan beliau adalah untuk beraksi dengan lebih baik di masa akan datang agar dapat memperolehi kejayaan serta menaikkan nama IKLS FC ke tahap yang tinggi.

    “Selain itu, saya juga berharap agar dapat menimba pengalaman yang lebih mendalam lagi, baik di dalam atau di luar negara,” tambahnya lagi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda