Tuesday, October 4, 2022
26.2 C
Brunei

Usaha hapuskan tipuan bidaan

-

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JAN – Tipuan bidaan dalam perolehan awam merupakan kesalahan serius yang boleh membawa hukuman denda sehingga 10 peratus daripada perolehan perniagaan bagi tempoh maksimum tiga tahun di bawah Bab 11, Perintah Persaingan 2015.

Penender dalam perolehan awam perlu bersaing dengan menghantar tawaran secara bebas iaitu tanpa menyelaras, berkomunikasi atau berpakat dengan para pesaing lain untuk mengehadkan atau menghapuskan persaingan dalam proses bidaan atau tawaran tender.

Perkara berkenaan ditekankan dalam sesi dialog menerusi Kempen Tipuan Bidaan Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam (CCBD) yang berlangsung di Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan, baru-baru ini.

Hadir semasa sesi dialog berkenaan ialah Pengerusi CCBD, Yang Berhormat Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii; ahli CCBD, Awang Mohammad Harris bin Brigadier General (B) Dato Paduka Haji Ibrahim dan Pemangku Ketua

Pengarah di JKR, Ir Haji Mohd Salleh bin Haji Abdul Karim, serta pihak pengurusan dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Jalan Raya di JKR.

Menurut kenyataan CCBD, dialog interaktif dipimpin oleh Pengarah Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna, Dayang Heidi Farah Sia Abdul Rahman selaku ketua Sekretariat Eksekutif CCBD; dan Pegawai Penyiasat, Dayang Anisah Syakirah binti Haji Anwari.

Dialog antaranya mengongsikan contoh sebenar kes persaingan untuk membantu para peserta memahami kaedah mengesan perlakuan manipulasi bidaan yang mencurigakan dan melaporkan potensi amalan pakatan sulit kepada CCBD bagi penilaian dan siasatan lanjut.

Sesi dialog tertutup itu adalah sebahagian daripada Kempen Kesedaran Tipuan Bidaan yang telah dilancarkan oleh CCBD pada Disember 2021, dengan objektif untuk memperlengkapkan penjawat dan kakitangan awam de-ngan pengetahuan dan maklumat yang relevan untuk mencegah, mengenal pasti dan melaporkan perlakuan tipuan bidaan kepada CCBD.

Sesi dialog menerusi Kempen Tipuan Bidaan CCBD yang berlangsung di Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, baru-baru ini. – Gambar serahan CCBD
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

PBB: 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan

ISLAMABAD, 3 OKT – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan serius dalam masa...
- Advertisment -