KINABATANGAN, 18 Sept – Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri akan mengemukakan cadangan untuk mewujudkan rangkaian jalan baharu menghubungkan Daerah Tongod dengan Kawasan Konservasi Maliau Basin.
Menterinya Datuk Jau-jan Sambakong berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kabinet negeri kerana ada kawasan dalam Maliau Basin berada di bawah Majlis Daerah Tongod.
Katanya cadangan mewujudkan jalan baharu ke kawasan Konservasi Maliau Basin ialah antara pembangunan yang mampu melonjakkan Daerah Tongod berasaskan alam semula jadi.
Satu kajian membabitkan Jabatan Perhutanan Sabah akan dilakukan bagi memastikan pembinaan jalan yang dicadangkan itu tidak merosakkan ekosistem di kawasan hutan berkenaan, katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia peringkat Daerah Tongod di Tongod, hari ini.
Terdahulu beliau mendengar taklimat pembangunan Daerah Tongod yang disampaikan oleh Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Tongod, Johanis Mualas. Hadir sama, Anggota Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah.
Jaujan yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, ketika ini pengunjung terutama penyelidik menggunakan jalan dari Kalabakan, Tawau dan Jalan Sapulut, Keningau untuk ke kawasan Konservasi Maliau Basin yang terletak di tengah-tengah Sabah.
Kerajaan mewartakan Maliau Basin yang meliputi seluas 588.4 kilometer persegi sebagai kawasan Hutan Simpan yang dilindungi sepenuhnya Kelas 1 pada tahun 1997.
Dalam perkembangan berkaitan, Jaujan berkata kementeriannya bersetuju untuk menjadikan Majlis Daerah Tongod dan Majlis Daerah Nabawan sebagai anak angkat dalam usaha membangunkan kedua-dua daerah itu.
Menurutnya sejajar usaha itu, pembangunan di kedua-dua daerah tersebut akan dilaksanakan berkonsepkan pemaparan budaya identiti masyarakat setempat serta alam semulajadi.
Beliau berkata landskap semula jadi sedia ada di dua daerah tersebut akan dikekalkan agar mampu menjadi tarikan khususnya dalam aspek pelancongan. – Bernama