Friday, April 19, 2024
30.4 C
Brunei

    -

    Usaha ibu tunggal sara keluarga

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Dalam usaha untuk membesarkan anak, pelbagai cabaran yang perlu dilalui oleh seorang ibu tunggal bagi memastikan bukan sahaja anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna malah mereka perlu menjana mata pencarian bagi kelangsungan hidup untuk membesarkan anak-anak.

    Bagi salah seorang ahli Persatuan Gerakan Ibu Tunggal (PGIT), Dayang Kaipah binti Abdul Rahman, beliau menjana mata pencarian melalui perniagaan kecil-kecilan yang dilakukannya termasuk menjual nasi katok.

    Beliau yang merupakan ibu kepada tujuh orang anak, berkata bahawa pelbagai cabaran yang dilaluinya sebagai seorang ibu tunggal untuk membesarkan anak tetapi bersyukur kerana dapat menjana pendapatan daripada perniagaannya.

    Dayang Kaipah juga menyatakan bahawa sebagai seorang ibu tunggal, beliau juga mengalas tanggungjawab yang amat besar kerana perlu menjadi ibu dan ayah kepada anak-anaknya.

    Cabaran yang dilalui dalam membesarkan anak, turut dikongsi oleh Naib Yang Di-Pertua PGIT, Pengiran Aisah binti Pengiran Haji Hashim yang berkata, pelbagai cabaran perlu dilalui untuk membesarkan lima orang anaknya.

    Dayang Kaipah menyatakan kursus yang disertai banyak memberikan mereka ilmu pengetahuan untuk mempromosikan lagi produk jualan melalui media sosial.

    Menurutnya lagi, walaupun mempunyai pekerjaan, beliau melakukan aktiviti perniagaan kecil-kecilan seperti penjualan makanan, kain dan baju, untuk mendapatkan mata pencarian tambahan bagi menampung keperluan kehidupan mereka sekeluarga.

    Dalam hubungan itu, bagi Dayang Kaipah penyertaannya dalam Kursus Pemasaran bagi Menjalankan Perniagaan dari Rumah yang dikendalikan oleh Bahagian Pendidikan Lanjutan dan Latihan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE CET) memberikan peluang kepada mereka untuk belajar mengenai kaedah mendedahkan lagi produk-produk yang dihasilkan oleh mereka kepada orang ramai melalui media sosial.

    Dayang Kaipah turut menyatakan bahawa kursus itu memberikan mereka pendedahan serta tunjuk ajar untuk membuat perniagaan secara dalam talian melalui penggunaan media sosial dan platform sedia ada bagi mempromosikan produk mereka kepada pelanggan sasaran.

    Di samping itu, beliau berkata, mereka juga diberikan tunjuk ajar untuk membuat penanaman secara hidroponik dan mengenali bahan-bahan yang diperlukan untuk menghasilkan penanaman hidroponik mereka sendiri.

    Sementara itu, Pengiran Aisah berkata bahawa kursus itu dapat membantu ahli-ahli persatuan untuk menambah ilmu pengetahuan mereka dalam cara-cara penanaman sayur-sayuran secara hidroponik dan juga cara-cara untuk mempromosikan produk yang dihasilkan oleh mereka menggunakan media sosial yang ada seperti Instagram, Facebook dan WhatsApp.

    Selain itu, mereka turut diberikan tunjuk ajar untuk membuat buku kira-kira bagi mengetahui dan mengenal pasti aliran kewangan bagi aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh mereka.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...