GEORGE TOWN, 12 OKT – Usaha menjadikan Bukit Bendera dan beberapa kawasan sekelilingnya sebagai Rizab Biosfera UNESCO dijangka dapat diketahui dalam tempoh setahun lagi, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Chow yang juga Pengerusi Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, berkata dosier atau kertas kerja bagi tujuan itu telah diserahkan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli kepada Sekretariat UNESCO di Paris, pada 29 Sept lepas.
Permohonan akan mengambil masa lebih kurang setahun untuk proses penilaian UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya pewartaan itu akan memperkasa pendidikan untuk pembangunan dan pemuliharaan melalui penyelidikan saintifik yang mendalam, sekali gus menjadikan Pulau Pinang pusat kecemerlangan global dalam penyelidikan kelestarian, kepelbagaian biologi dan pemuliharaan yang dipacu oleh akademik tempatan. – Bernama