Usaha kurangkan stigma kesihatan mental

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Dengan matlamat untuk meningkatkan lagi kesedaran dan mengurangkan stigma terhadap kesihatan mental secara berterusan di negara ini, CureHeart, Global Shapers Community BSB, PEKA Consultant dan Clarity Sdn Bhd mengungkayahkan pelbagai program meliputi forum dan bengkel secara maya bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia Brunei Darussalam tahun ini.

Selepas perasmian Hari Kesihatan Mental Sedunia Brunei Darussalam 2021 secara maya, kelmarin, forum dalam talian bertajuk Mental Health Education and Its Realities telah diadakan menerusi aplikasi Zoom.

Forum yang disertai lebih 80 orang peserta dan 321 tontonan di YouTube Livestream itu telah dipengerusikan oleh salah seorang ahli Global Shapers Community BSB, Awang
Fadli M Zaini dengan didampingi dua orang ahli panel jemputan iaitu pakar psikologi kaunseling dari Clarity Sdn Bhd, Todd McPherson dan pakar psikiatri dan Ketua Perkhidmatan Psikiatri, Kementerian Kesihatan, Dr Hilda Ho.

Forum membincangkan mengenai beberapa aspek antaranya kemajuan yang telah dicapai dalam mendidik masyarakat mengenai cabaran menangani masalah kesihatan mental dan isu-isu kebimbangan seperti bagaimana masalah kesihatan mental timbul.

Sementara itu, bengkel berjudul Anxiety in a Pandemic turut diadakan yang telah diketuai oleh kaunselor dari Clarity Sdn Bhd, Dean Walters dan disertai oleh 48 orang peserta.

Antara yang mengikuti bengkel Anxiety in a Pandemic secara dalam talian. – Gambar serahan Global Shapers Community BSB

Bengkel bermatlamat untuk menumpukan isu-isu kerisauan atau kegelisahan sepanjang meniti situasi pandemik dan juga bagaimana ia memberi impak kepada orang ramai. Selain itu, ia juga mengetengahkan strategi-strategi untuk mengurangkan kesannya serta cara untuk mewujudkan sokongan pada diri sendiri dan orang lain.

Manakala itu, kumpulan sokongan yang dikenali sebagai Hidden Heroes juga mengadakan program kesedaran hari kesihatan mental kepada masyarakat awam menerusi aplikasi dalam talian.

Perbincangan dikendalikan oleh pengasas dan Pakar Psikoterapi, Relate Counseling, Alister Tieng dan kaunselor dari Unit Kaunseling dan Pelbagai Keperluan Pembelajaran, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Brunei Darussalam, Hajah Adibah Al-Mukarramah.

Program tersebut disertai oleh lapan orang peserta yang mana perbincangan bertujuan untuk mewujudkan ruang yang selamat bagi golongan terlibat dalam menangani krisis pandemik pada masa kini terutamanya bagi para barisan hadapan dan sukarelawan.

Program-program yang diketengahkan itu juga bertujuan untuk menyediakan sumber, peluang rangkaian, dan bimbingan kepada para pelajar dan profesional muda yang memasuki bidang kesihatan mental dan untuk memberikan sokongan yang boleh diakses komuniti selaras dengan tema Hari Kesihatan Mental Sedunia tahun ini iaitu Mental Health in an Unequal World.