Usaha membendung penularan COVID-19

Oleh Lyna Mohamad

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Jabatan Daerah Brunei dan Muara bekerjasama dengan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) telah mengadakan kempen pembersihan di premis pasar di Pantai Jerudong baru-baru ini sebagai langkah dan usaha bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Hadir pada kempen tersebut ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Haji Misle bin Haji Karim, pemangku penghulu Mukim Sengkurong, pemangku ketua Kampung Jerudong A dan Jerudong B, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dari Balai Bomba Jerudong, NDMC, serta para sukarelawan di bawah NDMC dan para pengusaha gerai di pasar berkenaan.

Sebelum memulakan kempen kebersihan tersebut, bacaan Surah Al-Fatihah dibacakan oleh Haji Misle diikuti dengan penerangan ringkas. Kempen kebersihan ini merupakan sebahagian daripada siri kempen kebersihan yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) melalui jabatan-jabatan bandaran dan pejabat-pejabat daerah untuk sama-sama membendung penyebaran wabak COVID-19 demi kesejahteraan dan keselamatan orang ramai.

Inisiatif ini, berdasarkan saranan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan, bermula pada 15 April yang lalu, dan merangkumi semua pasar dan gerai sayur-sayuran serta makanan di seluruh negara.

Antara yang turut serta pada kempen pembersihan tersebut.