Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Taklimat bagi memberigakan Akta Barang-barang Purbakala dan Harta Terpendam 1967, edisi semakan 1984;1991 dan 2002 telah diteruskan lagi hari ini di Daerah Belait.
Berlangsung di Bangunan Muzium Daerah Belait, taklimat kali ini dihadiri oleh para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di Daerah Belait khususnya dari Mukim Labi, Mukim Sukang, Mukim Bukit Sawat, Mukim Kuala Belait, Mukim Seria dan Mukim Liang yang turut dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku Penghulu Mukim Liang dan Pemangku Penghulu Mukim Bukit Sawat dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput, Pemangku Penghulu Labi/Ketua Kampung Labi 1.
Taklimat anjuran Urus Setia Lembaga Muzium, Jabatan Muzium-muzium itu bertujuan untuk menerangkan tentang akta yang telah diperkenankan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, diperuntukkan untuk melindungi dan memelihara monumen-monumen lama dan bersejarah, tapak-tapak arkeologi, tinggalan-tinggalan dan barang-barang antik.
Taklimat turut menjelaskan definisi ‘benda purba’ iaitu benda buatan atau lain-lain benda yang mempunyai kaitan dengan kepentingan agama, tradisi, seni dan sejarah.
Contohnya bahan turunan bangsa seperti Lanjang dan Paspan, karya seni seperti ukiran, senjata, alat muzik, manuskrip, duit, lencana, panji-panji dan sebahagian atau lengkap sebarang kenderaan darat, kapal atau perahu yang tidak lagi dihasilkan.
Peruntukan akta ini termasuk pewartaan tapak-tapak dan monumen-monumen bersejarah dan sehingga kini, sebanyak 37 monumen termasuk tapak-tapak dan makam-makam telah diwartakan terdiri daripada 29 monumen di Daerah Brunei Muara, empat di Daerah Tutong, dua di Daerah Belait dan dua di Daerah Temburong.
Monumen dan tapak yang diwartakan di Daerah Belait ialah Istana Manggalela dan Rumah Lama Pegawai Daerah Belait yang masa ini dijadikan Muzium Daerah Belait.
Taklimat telah disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Muzium-muzium, Dayang Aminah binti Haji Majid selaku Ketua Urus Setia Lembaga Muzium dan ahli-ahli Urus Setia Lembaga Muzium.