Usaha memperkasa asnaf

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Dalam usaha untuk membantu golongan penerima zakat supaya tidak terus bergantung kepada agihan wang zakat, Tamu Usahawan Asnaf Zakat menjadi satu platform untuk mereka berniaga dan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

Ini juga sekali gus memberi peluang dan laluan kepada mereka untuk bersaing secara sihat seterusnya meningkatkan mutu dan kualiti ke arah membina semangat jati diri untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Perkara ini dijelaskan oleh Penolong Pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar pada sidang media, hari ini, mengenai Tamu Usahawan Asnaf Zakat yang julung kalinya akan berlangsung empat hari bermula pada 28 November hingga 1 Disember ini.

Pada sidang media yang berlangsung di Bangunan PDI itu, beliau seterusnya menjelaskan, sebanyak 54 usahawan dari empat daerah yang berdaftar dengan PDI dan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) menerusi Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) akan menyertai tamu berkenaan.

Jelasnya, empat kategori jualan disediakan iaitu produk kraf tangan, makanan basah dan kering serta minuman, busana dan juga agrimakanan dan pertanian seperti sayur, herba, buah-buahan dan tumbuhan.

Di samping itu, tamu berkenaan akan turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti kuiz spontan, aktiviti memanah dan menunggang kuda.

Tamu Usahawan Asnaf Zakat merupakan usaha dan inisiatif PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kolaborasi Jabatan MUIB dan disokong oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Ia dihasratkan dapat membangun kapasiti, keupayaan dan kemahiran serta menyediakan platform ‘market place’ bagi membantu penerima zakat seperti asnaf fakir miskin dan asnaf muallaf untuk menjadi usahawan yang berjaya.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke tamu berkenaan yang bakal diadakan di Kawasan Letak Kereta, Bangunan Darul Huda PDI, Kampung Pulaie.

Awang Abdul Aziz menjelaskan mengenai Tamu Usahawan Asnaf Zakat pada sidang media, kelmarin.