Usaha memperkasa bakal pemimpin

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Universiti Brunei Darussalam (UBD) bertekad untuk memperkasakan pemimpin yang holistik dan berupaya menerusi pendidikan yang inovatif dan penyelidikan yang maju dengan berpandukan oleh aspirasi negara serta dipimpin oleh nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB).

Sehubungan itu, adalah amat penting bagi para mahasiswa dan mahasiswi UBD yang baharu dalam perjalanan mereka menuju kejayaan untuk tidak hanya menumpukan kepada bidang akademik sahaja tetapi mendukung moto UBD iaitu ‘Ke Arah Kesempurnaan Insan’, dengan berpandukan kepada tiga prinsip iaitu inovasi dan keusahawanan, kemahiran yang relevan bagi industri serta keinginan bagi pembelajaran sepanjang hayat.

UBD telah melabur dalam pelbagai sumber supaya dapat membantu para pelajarnya untuk mencapai matlamat mereka selaras dengan Wawasan Brunei 2035 yang bertujuan untuk mempersiapkan mereka bagi alam pekerjaan dan kejayaan dalam dunia yang semakin kompetitif serta berpandukan ilmu pengetahuan.

Oleh itu, UBD akan terus menyediakan kemudahan kepada pelajarnya dalam bentuk pengajaran yang berkualiti tinggi dan kemudahan universiti yang terbaik, jelas Pemangku Naib Canselor UBD, Hajah Rubiah binti Haji Yacub ketika menyampaikan Ucapan Khas Naib Canselor semasa Minggu Freshers’ di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

Lafaz ikrar oleh pelajar-pelajar baru UBD bagi pengambilan tahun akademik 2019/2020 semasa Minggu Freshers’ yang berlangsung di Dewan Canselor, UBD.

Beliau menambah bahawa para pelajar yang mengalami sendiri program GenNEXT di mana mereka diberikan peluang untuk meneroka dan mereka sendiri kurikulum masing-masing dengan kira-kira 40 hingga 50 peratus kurikulum mereka sahaja terikat dengan mata pelajaran utama yang mana ia memberikan mereka kebebasan membuat pilihan, modul, tahun penemuan (discovery year) serta projek.

Dalam hubungan itu, ia akan memberikan mereka lebih banyak kebebasan untuk meningkatkan lagi kebolehpasaran mereka pada masa akan datang di mana pendekatan pelbagai disiplin itu, akan melengkapkan mereka dengan ilmu pengetahuan dan kompetensi bagi bidang pilihan masing-masing.

Hajah Rubiah menjelaskan bahawa program itu berpandukan ke arah ekonomi baharu yang pelbagai dengan Pusat Latihan bagi Rangkaian, Pekerjaan dan Kerjaya (CoNECT) menganjurkan Program Pengalaman Kerja Musim Panas (SWEP) di mana para pelajar boleh memilih untuk mengikuti program penempatan kerja selama 10 minggu, bekerjasama bagi projek atau mengikut pekerja-pekerja daripada syarikat semasa cuti musim panas mereka dengan matlamat untuk meningkatkan lagi prospek kerjaya mereka.

Beliau menyatakan, jika para pelajar masih belum pasti mengenai laluan kerjaya mereka, mereka boleh mengikuti latihan yang dianjurkan oleh CoNECT untuk membantu mereka menetapkan laluan kerjaya mereka.

Dalam ucapannya lagi, Hajah Rubiah menyatakan bahawa di UBD, terdapat pelbagai peluang yang menanti para pelajar, oleh itu, adalah amat penting bagi mereka untuk mengurus masa dan memaksimumkan potensi mereka.

Pada masa yang sama, dalam pasaran yang pesat berubah, mereka harus membuat keputusan yang tepat dan amat penting bagi mereka menilai diri mereka dalam alam sekitar yang terus berubah.

Mereka harus membuat pemikiran yang strategik mengenai perubahan di sekeliling mereka dalam perjalanan bersama UBD serta untuk mengenal pasti kekuatan mereka dan mengembangkan kepakaran serta menangani kelemahan, berani untuk meneroka minat mereka dan untuk memikirkan mengenai pekerjaan atau peranan yang ingin diambil setelah mencapai matlamat mereka di UBD.

Dalam Revolusi Industri 4.0, generasi masa kini akan mempunyai pekerjaan yang amat berbeza daripada pekerjaan yang dijana beberapa dekad dahulu dan mereka yang mempunyai pengalaman dalam revolusi digital ini, mereka berupaya untuk menjadi penjana pekerjaan pada masa datang.

Oleh itu, dengan memanfaatkan gelombang teknologi yang baharu ini, jelasnya, seperti Internet Benda (IoT), perkomputeran awan dan dunia alam maya, mereka mempunyai keupayaan untuk mentransformasikan industri serta perniagaan di sekeliling mereka.

Ke arah itu, mereka harus bersedia untuk menikmati kehidupan universiti dan tiga prinsipnya itu.

Bagi pengambilan pertama tahun akademik 2019/2020 semasa Minggu Freshers’ yang bermula hari ini, UBD mengalu-alukan seramai 1,039 orang pelajar baharu iaitu termasuk 26 orang pelajar PhD, 230 orang pelajar sarjana, 618 orang pelajar ijazah termasuk 165 orang pelajar yang meneruskan pengajian mereka ke ijazah daripada program UniBridge Januari 2019.

Minggu Freshers’ merupakan acara yang diadakan dua kali setahun oleh UBD di mana pelajar-pelajar baharu diberikan penerangan mengenai perkara-perkara penting berkaitan dengan kehidupan akademik dan bukan akademik di universiti dan pelbagai perkara yang ditawarkan oleh UBD.

Pada majlis itu juga, para pelajar baharu melafazkan ikrar sebagai pelajar UBD di hadapan pihak pengurusan kanan UBD dan pegawai-pegawai utama UBD serta ibu bapa mereka.

Minggu Freshers’ diadakan selama empat hari dengan hari pertama diisi dengan taklimat berkaitan keperluan akademik para pelajar seperti Program GenNEXT, prosedur pendaftaran modul dan peraturan peperiksaan.

Manakala itu, hari kedua pula merangkumi pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh Eksekutif Keugamaan dan Kerohanian (EKK), ceramah kesedaran kesihatan sosial oleh Majlis AIDS Brunei Darussalam, peluang, persediaan dan perkembangan bagi kerjaya masa depan yang ditawarkan oleh CoNECT dan taklimat keselamatan dam sekuriti di kampus oleh Pejabat Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (OSHE).

Pada hari ketiga, para pelajar akan mengikuti taklimat oleh Pejabat Perkhidmatan Pelajar, diikuti dengan Bicara Ulum Ad-din oleh penceramah undangan, Sharifah Khadijah Al-Khaff mengenai Al-Akhlak serta menyertai aktiviti sukan yang dikendalikan oleh Unit Pembangunan dan Aktiviti Pelajar dan Eksekutif Sukan dan Rekreasi.

Pada hari terakhir Minggu Freshers’, para pelajar yang menghadiri ceramah Kesedaran Keselamatan Jalan Raya oleh PEMODA dan diikuti dengan ceramah pendidikan keusahawanan oleh Entrepreneurship Village, UBD.