Usaha memperkasa pelancongan Iran

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Sebagai usaha berterusan bagi memperkasakan industri pelancongan Iran, Kedutaan Republik Islam Iran di Brunei Darussalam telah menganjurkan Bengkel Pelancongan Iran yang disertai oleh wakil agensi-agensi pelancongan di negara ini.

Bengkel sehari yang diadakan di premis kedutaan berkenaan dikendalikan oleh Mohammadazim Arbabi yang merupakan pakar pelancongan dari Chabar, Iran.

Dalam bengkel berkenaan, Duta Besar Iran ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Homeira Rigi Zirouki turut menyampaikan mesej, yang antara lain menyentuh mengenai ‘perjalanan dan kesenian’ yang merupakan dua ‘sayap’ kedamaian yang membantu manusia untuk mencapai matlamat utama, kebahagiaan dan ketenangan.

Melalui bengkel itu juga, peserta berpeluang untuk memenangi penginapan tiga hari dua malam di hotel lima bintang di ibu kota Shiraz selain tiga peserta berpeluang untuk mendapatkan permohonan visa percuma.

Pada penghujung bengkel, para peserta menerima sijil penyertaan yang telah di-sampaikan oleh PYT Homeira Rigi Zirouki.

Salah seorang peserta dari agensi pelancongan menerima sijil penyertaan bengkel daripada PYT Homeira Rigi.