Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 April – Dalam usaha memperkasakan ibu tunggal di negara ini, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) mengadakan sesi taklimat dan perjumpaan bersama mentor dan ibu tunggal di Dewan Serba Guna Kompleks Yayasan di ibu negara hari ini.
Sesi taklimat bertajuk ‘Latihan Asas dan Mentor’ serta sesi perjumpaan bersama ibu tunggal (Mentee) merupakan kesinambungan Projek Ibu Tunggal YSHHB dari Program Meningkatkan Keupayaan Ibu Tunggal 2017 Fasa 1 yang berakhir semalam. Sesi taklimat lain bagi program anjuran YSHHB juga diadakan pada majlis itu.
Hadir pada majlis itu ialah Penolong Pengarah Urusan III YSHHB, Hajah Donnaliza binti Abdullah Puasa yang turut menyampaikan ucapan ringkas, diikuti taklimat-taklimat skim YSHHB lain disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas YSHHB, Awang Ahmad Rithaudin bin Haji Sabtu dan Pegawai YSHHB, Awang Ali bin Rahman.

Manakala taklimat bagi ibu tunggal disampaikan oleh Pengarah Urusan AFDAL Training and Consultancy, Hajah Linda Aini binti Abdullah.
Seramai 27 orang ibu tunggal mengikuti sesi taklimat dan perjumpaan bersama mentor yang memantau mereka bagi memastikan projek ibu tunggal ini berjalan lancar dan berjaya.