ROCKVILLE – Kesan bekam berwarna ungu di belakang badan legenda perenang, Michael Phelps semasa Olimpik Rio 2016 secara tidak langsung telah membuka mata pihak awam berhubung mengenai tradisi perubatan China di peringkat antarabangsa.
Kisah yang telah banyak disiarkan itu telah berjaya meyakinkan ramai orang di seluruh dunia berhubung mengenai keberkesanan teknik perubatan China. Bagaimanapun tradisi perubatan China masih kedengaran agak janggal dan misteri di kalangan warga Barat.
Muzium Tradisi Perubatan China yang terletak di Rockville, Maryland merupakan sebuah tempat yang cukup ideal bagi warga barat untuk mempelajari lebih lanjut mengenai tradisi perubatan tersebut.
Ia juga menampilkan begitu banyak pameran merangkumi formula herba serta rawatan bukan farmakoterapi pada lokasi yang memiliki kawasan seluas 2,000 meter persegi itu.
Pada awalnya, muzium tersebut memang sukar untuk meyakinkan golongan-golongan yang kurang mempercayai mengenai tradisi perubatan China namun sekurang-kurangnya ia dikatakan boleh membantu untuk menghilangkan rasa keraguan di kalangan para pengunjung berhubung mengenai keberkesanan tradisi perubatan China itu.
“Tradisi perubatan China juga pada hakikatnya merupakan sebahagian daripada Sains dan percubaan klinikal juga telah mula dilakukan sejak beribu tahun yang lalu,” jelas Ji Bo, seorang profesor bidang tradisi perubatan China yang kini bekerja di Pusat Tradisi Perubatan China yang berpangkalan di Maryland.
Muzium yang turut bergabung dengan Pusat Penyelidikan AS berhubung mengenai Perubatan China di Universiti Beijing (BUCM) itu merupakan institusi yang bukan berasaskan keuntungan dan telah dibuka kepada orang ramai pada tahun 2016.



“Kami berharap dengan melaksanakan sesi lawatan di muzium tersebut dapat mencambah pengetahuan para pelancong berhubung mengenai budaya, teori dan terapi yang diamalkan di bawah tradisi perubatan China,” jelas Ji yang kini ditugaskan di muzium tersebut.
“Selain itu, kami juga cuba untuk membentangkan beberapa pencapaian kajian tradisi perubatan China di pentas antarabangsa,” tambah beliau.
Tatkala masuk ke dalam muzium tersebut, sebuah patung yang mendemonstrasikan rawatan akupunktur dijangka bakal berjaya menarik perhatian para pengunjung. Bagi pengunjung yang memang mengetahui mengenai sejarah tradisi perubatan China setentunya akan menyedari bahawa patung bersaiz besar dan diperbuat daripada gangsa itu menampilkan identiti Wang Weiyi, seorang perintis bagi perubatan akupunktur pada era Dinasti Song pada tahun 960-1279.
Di samping terdapat juga patung yang dipamerkan untuk membantu para pelajar dalam mempelajari bagi pengesanan titik akupunktur dengan mengisi patung itu dengan air dan menutupnya kembali dengan lilin.
Dari situ, pelajar-pelajar itu sendiri akan dilatih untuk melakukan teknik akupunktur pada patung tersebut untuk melihat sama ada jarum yang dimasukkan itu adalah pada bahagian yang betul ataupun tidak.
Objek-objek lain yang dipamerkan itu juga bertujuan untuk merangsang minat pengunjung berhubung mengenai keistimewaan teknik perubatan China.
Model klinik perubatan China juga telah ditampilkan dalam bahagian kabinet farmasi yang mana para pengunjung berpeluang untuk mempelajari mengenai kandungan yang dimuatkan dalam formula herba termasuk kepentingan dan peranan setiap bahan-bahan yang digunakan.
Dalam menghasilkan formula tersebut, fungsi sejenis perubatan tersebut pada kebiasaannya datang daripada bahan utama pada herba tersebut namun ia juga turut disokong dengan kehadiran bahan-bahan perubatan yang lain.
Bagaimanapun dos bahan perubatan sampingan itu wajar diselaraskan dengan kandungan bahan utama bagi membantu ia untuk berfungsi dengan lebih baik serta mengelakkan daripada sebarang kesan sampingan yang buruk.
Tradisi perubatan China ini telah lama dipraktikkan sebagai rawatan utama di kalangan warga China sejak ribuan tahun lalu dan kini ia semakin terkenal di kebanyakan tempat di seluruh dunia apabila ia terbukti memberi kesan dalam menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.
Rawatan tradisi bukan farmakoterapi China juga merupakan bahagian penting dalam pameran muzium yang dapat memberikan informasi kepada para pengunjung berhubung mengenai trajektori pembangunan tradisi perubatan China di luar negara serta beberapa anekdot, Phelps adalah merupakan salah satu daripadanya.
Sebuah lagi kisah yang juga baik dikongsikan adalah berhubung dengan wartawab AS, James Resron. Pada tahun 1971, apabila beliau mengunjungi China untuk membuat liputan mengenai lawatan Henry Kissinger, beliau mula menyatakan rasa sakit kesan daripada selepas pembedahan di bahagian apendiks.
Dari situ, pengamal perubatan China telah melakukan rawatan akupunktur untuk melegakan rasa sakit tersebut dan ternyata ia adalah sangat berkesan. Perkara tersebut secara tidak langsung telah menambah minat dan membuka mata awam berhubung mengenai kehebatan tradisi perubatan China di dunia barat.
“Selaku seorang pengamal perubatan tradisi China, saya telah banyak menyaksikan kes di mana penggunaan perubatan barat adalah kurang berkesan dan tradisi perubatan China pula jauh lebih berkesan untuk merawat masalah kemurungan, insomnia serius dan komplikasi selepas pembedahan,” jelas Ji.
“Malah tradisi perubatan China juga semakin diterima baik dalam bidang perubatan barat dan mula memahami akan fungsi sehingga telah berjaya memeterai pemahaman dan persetujuan,” jelas Delegasi Negeri Maryland, Clarence Lam yang juga merupakan seorang doktor di Universiti Johns Hopkins.
“Kami melihat lebih banyak kajian yang telah dilakukan, malah lebih banyak persekutuan yang telah diperuntukkan bagi melengkapi kos perubatan. Secara dasarnya, perubatan China dan barat dapat bekerjasama dalam merawat para pesakit,” jelas JI.
Kini, lebih daripada 40,000 pengamal akupunktur aktif melakukan perubatan tersebut di seluruh AS. Daripada 50 negeri di AS, 46 telah menyempurnakan undang-undang berhubung mengenai akupunktur.
Masih terdapat banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengangkat tradisi rawatan China hingga ke peringkat antarabangsa dan muzium tersebut juga akan terus menyimpan impian untuk menuju ke arah tersebut.
“Pada dasarnya, terdapat ruang bagi perubatan barat dan tradisi perubatan China untuk berganding bahu dan kami memang memerlukan pusat seperti ini untuk mengetengahkan kepada masyarakat berhubung mengenai kepentingan perubatan China sekali gus memperkenalkan kepada setiap individu berhubung mengenai pilihan yang terbaik,” jelas Lam. – Xinhua