‘Usaha menyelamat berdepan kesukaran’

BEIJING, 22 JAN – Penyelamat memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu lagi untuk mengeluarkan pelombong yang terperangkap di bawah tanah dalam kejadian berlaku di timur China.

Menurut laporan media tempatan, misi menyelamat yang sudah berlangsung dua minggu kian terdesak apabila terdapat halangan besar iaitu batu granit sehingga menyukarkan operasi bagi menyelamatkan 21 pekerja, sekali gus melambatkan usaha penggerudian.

“Halangan terlalu besar. Maksudnya, kami perlukan sekurang-sekurangnya 15 hari lagi atau lebih untuk sampai kepada pelombong,” kata Timbalan Ketua Jabatan Publisiti Tempatan, Gong Haitao kepada CCTV. Menurut Gong, serpihan yang menjadi penghalang operasi pada kali ini mempunyai berat sekitar 70 tan.

Pada 10 Januari lalu, letupan berlaku di lombong Hushan dekat wilayah Shandong menyebabkan 22 pekerja terperangkap beratus meter di bawah tanah.

Ahad lalu, kontak dilakukan dengan 11 pelombong yang terperangkap di lokasi berkedalaman 580 meter di bawah permukaan.

Keperluan seperti bekalan makanan dan perubatan amat diperlukan buat mangsa yang terperangkap.

Salah seorang dalam kumpulan 11 pelombong itu mengalami cedera parah dalam letupan awal dan disahkan meninggalkan dunia kerana kecederaan di kepala sehingga koma. – AFP

Gambar fail pada 20 Januari 2021 menunjukkan anggota penyelamat ketika berada di lokasi letupan perlombongan, di mana 22 pelombong terperangkap pada kedalaman 580 meter. – AFP