Thursday, April 24, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha OBOR penting bagi menyatukan ASEAN dan China

    KUALA LUMPUR, 10 Feb – Usaha ‘One Belt, One Road’ (OBOR) akan berperanan penting dalam menyatukan 10 negara ASEAN dengan China, ekonomi kedua terbesar dunia, menurut HSBC Bank Malaysia Bhd.

    Ketua Pegawai Eksekutif, Mukhtar Hussain berkata dengan kedudukan strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, Malaysia bukan hanya sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN, malah juga ke China.

    “Sejak pelaksanaan usaha itu, kedua-dua negara (Malaysia dan China) telah meraih manfaat awal pelaburan ekonomi dan menyatakan komitmen, antara lain, untuk membangunkan perkongsian strategik dalam semua aspek sektor perdagangan, kewa-ngan, pembangunan pelabuhan dan logistik.

    “Malah, Malaysia terus memperoleh manfaat daripada perluasan ekonomi China dan republik itu kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia bagi tahun ketujuh berturut-turut sejak 2009,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mukhtar berkata perdagangan Malaysia dengan China menyaksikan pertumbuhan 2.7 peratus kepada RM216.27 bilion bagi 11 bulan pertama 2016.

    Sebagai negara ASEAN, beliau berkata, usaha OBOR akan membantu menangani kekurangan infrastruktur dan meningkatkan pembangunan perindustrian.

    Usaha OBOR oleh China merupakan contoh utama dasar capaian luar.

    Ia bertujuan mewujudkan permintaan bagi bahan mentah dan barangan di negara itu menerusi pelaburan dalam projek infrastruktur strategik di luar negara di samping mewujudkan hubungan ekonomi dengan negara yang terletak di sepanjang Laluan Sutera lama ke Eropah selain di jajaran maritim baharu berkaitan serta seluruh Asia dan Afrika. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda