Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Usaha pelbagaikan ekonomi negara membuahkan hasil

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Sumbangan pertumbuhan ekonomi sektor bukan minyak dan gas telah mencapai jumlah $9.8 bilion pada 2021 dan diunjurkan untuk terus berkembang secara berterusan pada masa hadapan.

    Pembangunan sektor hiliran minyak dan gas telah memainkan peranan penting menerajui pertumbuhan berkenaan yang menunjukkan bahawa usaha mempelbagaikan ekonomi negara sudah membuahkan hasil.

    “Langkah positif telah dicapai dalam sektor perkhidmatan, terutamanya dalam sektor kewangan serta sektor pengangkutan dan logistik,” jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucaptama pada Persidangan Perniagaan Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    Untuk mengekalkan pertumbuhan menggalakkan itu, ulasnya, Negara Brunei Darussalam akan meneruskan agenda mempelbagaikan ekonominya khususnya dalam pelbagai sektor yang dikenal pasti dalam Pelan Induk Ekonomi Brunei Darussalam.

    Dalam ucaptama berkenaan lagi, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa tidak dapat dinafikan, pengalaman COVID-19 telah merubah bagaimana dunia berfungsi termasuk bagaimana perniagaan beroperasi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa berucap pada Persidangan Perniagaan Kebangsaan 2023.
    Antara yang hadir pada Persidangan Perniagaan Kebangsaan 2023, kelmarin.

    Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali di mana kita menyaksikan bagaimana COVID-19 telah memaksa kita untuk menilai semula kaedah mengendalikan aktiviti.

    Ia juga telah menggalakkan kita untuk mengguna pakai kaedah-kaedah lebih baik dan pintar bagi melakukan benda serta mempercepatkan kadar pendigitalan.

    Yang Berhormat Dato menekankan, di bawah kepimpinan bijaksana dan berwawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kerajaan telah melancarkan Pelan Induk Ekonomi Digital pada Jun 2020 dengan visi mencapai sebuah Negara Pintar menerusi transformasi digital.

    “Kita telah menyaksikan permulaan yang menggalakkan kepada perjalanan ini, dengan beberapa program dan inisiatif diperkenalkan untuk menggalakkan pembangunan dan penggunaan digital, termasuk penstrukturan rangka kerja urus tadbir dan dasar data digital untuk memandu proses pendigitalan dalam negara,” jelasnya.

    Yang Berhormat Dato seterusnya berkata, memahami akan pentingnya untuk memanfaatkan potensi pendigitalan dan mempercepatkan inisiatif-inisiatif digital di sebalik latar belakang COVID-19, semasa Brunei menjadi Pengerusi ASEAN pada 2021, Peta Jalan Bandar Seri

    Begawan telah dilancarkan dengan matlamat untuk mentransformasikan rantau ASEAN menjadi sebuah ekonomi digital unggul.

    Peta jalan itu menggariskan rancangan untuk mendalamkan kesalinghubungan dan integrasi digital ASEAN yang mengutamakan penggunaan teknologi untuk memudahkan proses perniagaan termasuk perdagangan merentas sempadan dan kerjasama merentas sektor di antara negara-negara ASEAN serta mempromosikan keyakinan dan akses dalam penggunaan peralatan digital.

    Beliau menerangkan bahawa infrastruktur digital negara juga telah dipertingkatkan menerusi penubuhan Pusat Data Komersial dan pelancaran Makmal Inovasi Brunei untuk memacu pertumbuhan penyelesaian dan perniagaan berasaskan teknologi.

    Baru-baru ini, ulasnya, terdapat peningkatan minat daripada perniagaan dan pemain-pemain industri untuk memanfaatkan data perniagaan dan peralatan digital termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI), cloud computing dan Internet of Things (IoT) dalam pelbagai sektor seperti makanan, hiliran minyak dan gas, logistik, runcit serta penjagaan kesihatan.

    Yang Berhormat Dato seterusnya berkata bahawa Negara Brunei Darussalam telah melancarkan aplikasi BruHealth yang pada awalnya dibangunkan sebagai peralatan pengurusan pandemik COVID-19.

    Pada hari ini, jelasnya, fungsi BruHealth telah dilanjutkan kepada Platform Pengurusan Kesihatan Awam Digital di mana ia membolehkan pengguna untuk menjejak temu janji perubatan, melihat rekod kesihatan peribadi dan menjadualkan konsultasi video
    dengan doktor.

    “Dalam menjangkakan penggunaan teknologi yang lebih besar dalam ekosistem industri kita, yang telah dan akan diteruskan bagi membolehkan perniagaan beroperasi dengan lebih efisien dan berinteraksi bersama pelanggan secara lebih baik, kita harus meletakkan keutamaan untuk mempersiapkan tenaga kerja kita menjadi bersedia untuk masa hadapan.

    “Selain itu, melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan serta menyediakan mereka akses lebih baik kepada teknologi bukan sahaja untuk mengatasi cabaran hari ini tetapi juga untuk merebut peluang-peluang hari esok,” ujar beliau.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...