Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Usaha pemulihan ekonomi ASEAN dibincangkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MEI – Kepentingan peranan perdagangan dan pelaburan Intra-ASEAN pasca pandemik COVID-19 telah diketengahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-menteri Ekonomi ASEAN (AEM) yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 18 Mei lalu.

    Semasa mesyuarat itu, beliau turut bersetuju mustahaknya bagi negara-negara anggota ASEAN (AMS) mengukuhkan ASEAN Centrality dalam menangani dunia yang semakin berkembang dan tidak menentu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, mesyuarat khas itu dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Kemboja, Tuan Yang Terutama Pan Sorasak dan turut dihadiri oleh menteri-menteri ekonomi dari negara-negara anggota ASEAN serta Setiausaha Agung ASEAN, TYT Dato Paduka Lim Jock Hoi.

    Menteri-menteri ekonomi ASEAN telah membincangkan dan bertukar-tukar pandangan mengenai usaha-usaha pemulihan ekonomi rantau ASEAN dan strategi-strategi dalam menangani isu-isu serantau dan global termasuk dalam mengukuhkan ASEAN Centrality bagi memastikan Komuniti Ekonomi ASEAN yang relevan, berdaya saing, inklusif, berdaya tahan serta mampan dalam era pasca pandemik COVID-19.

    Mesyuarat mengambil maklum mengenai ramalan optimistik kenaikan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi rantau ASEAN, di mana pertumbuhan ekonomi dijangka akan meningkat sebanyak 4.9 peratus pada 2022 dan 5.2 peratus pada 2023. ASEAN juga mengambil maklum bahawa usaha-usaha pemulihan dan prospek ketumbuhan akan mudah terdedah kepada situasi geopolitik, gangguan kepada rantaian bekalan, kekurangan komoditi-komoditi berkepentingan dan tekanan inflasi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa bergambar ramai pada Mesyuarat AEM di Bali, Indonesia, baru-baru ini. – Gambar serahan MOFE

    Dalam pada itu, mesyuarat menegaskan keperluan bagi ASEAN untuk berwaspada dan mempercepatkan usaha-usaha pelaksanaan Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) supaya ekonomi rantau ini akan dapat membangun semula dengan lebih baik.

    Mesyuarat seterusnya bersetuju bahawa Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) berpotensi menjadi penyumbang ke arah usaha-usaha pemulihan ekonomi. Dalam pada itu, mesyuarat mengalu-alukan penubuhan Sekretariat RCEP untuk memberi bantuan dan sokongan kepada Jawatankuasa Bersama RCEP dan badan-badan subsidiari di bawahnya.

    Mesyuarat juga mengetengahkan kepentingan keberhasilan Persidangan Menteri-menteri (MC) Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) ke-12 yang akan berlangsung pada 12 hingga 15 Jun nanti di Geneva, Switzerland, dalam memastikan sistem perdagangan pelbagai hala yang telus, tiada diskriminasi dan terbuka. Kenyataan menyatakan seterusnya, mesyuarat turut berbincang mengenai isu-isu berkaitan alam sekitar termasuk dasar dan strategi yang diperkenalkan oleh badan-badan pertubuhan antarabangsa, yang berkemungkinan besar akan membawa impak kepada dasar dan aktiviti perdagangan di rantau ini.

    Mesyuarat khas itu, telah didahului dengan mesyuarat Persediaan Mesyuarat Pegawai-pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) pada 17 Mei lalu di mana mesyuarat berkenaan dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...