HOHHOT – Ia adalah awal musim luruh. Matahari terbenam di bukit gurun Kubuqi dan udara mulai sejuk.
Seorang penternak warga Mongolia, Suilasaikhan, memandu lorinya di jalan yang dipenuhi dengan semak. Dia menyukai suasana itu.
Pemandangan tompokan tumbuhan-tumbuhan subur di tengah-tengah kawasan pasir sangat memukaunya.
Ia adalah suatu pemandangan yang luar biasa bagi seorang penternak yang setentunya tidak dapat membayangkannya pada empat dekad lalu ketika bertarung hidup melawan pasir.
“Pada tahun 1970-an, pasir ini setinggi rumah kami. Anda boleh berjalan terus ke bukit pasir dan ke bumbung,” kata Suilasaikhan.
“Apabila angin meniup, anda tidak dapat melihat rumah sama sekali. Anda hanya dapat mencari jalan pulang dengan gonggongan anjing,” katanya.
Merangkumi 18,600 kilometer persegi, padang pasir Kubuqi terletak di lekuk Sungai Kuning di Wilayah Autonomi Pedalaman Mongolia dan pernah menerima ancaman ‘penenggelaman’ seluruh wilayah itu.
Dalam tempoh 30 tahun yang lalu, pengembangannya semakin berkurang dan beralih arah.
Pokok-pokok renek kini mulai tumbuh sekitar satu pertiga daripada Kubuqi.
Ribut pasir juga semakin berkurangan dan lebih daripada 100,000 penduduk tempatan kini tidak dianggap sebagai ‘miskin’.
Program Alam Sekitar PBB (UNEP) menggalakkan negara-negara lain – mempunyai masalah padang pasir – untuk memandang Kubuqi sebagai satu inspirasi.
“China adalah salah sebuah negara yang paling berjaya dalam menghijaukan padang pasirnya dan mempunyai pengajaran untuk dikongsikan kepada dunia,” kata Pengarah Eksekutif UNEP, Erik Solheim.
Baru-baru ini, bandar padang pasir Ordos telah menganjurkan Persidangan Pihak ke Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Memerangi Penggurunan sesi Ke-13.
Usaha China untuk membina ‘tembok besar hijau’ bermula pada tahun 1978. Penghutanan bagi kawasan utara itu bertujuan untuk membentuk pokok sebagai perisai terhadap serangan pasir, namun penghutanan semula adalah sangat mahal dan memerlukan tenaga buruh yang ramai. Di Kubuqi, perbelanjaan negeri telah dipadankan dengan cita-cita dan inovasi individu, sebuah sistem untuk memudahkan kejayaan bagi negara-negara miskin untuk mengikut jejak langkahnya.
Jalan menuju kejayaan
Pada tahun 1988, seorang pegawai kerajaan bernama Wang Wenbiao sedang menjalankan proses penggaraman di tengah-tengah Kubuqi.
Rizab garam adalah sangat banyak, namun masalahnya adalah bagaimana untuk mendapatkannya.
Wang mengarahkan pembinaan jalan satu demi satu, kesemuanya ditelan oleh pasir. Dia segera menyedari bahawa untuk melakukan perniagaan di padang pasir, berurusan dengan pasir selalu menjadi langkah pertama. Dia meneruskan usaha kritikalnya untuk mencari tumbuhan tahan kemarau yang boleh tumbuh di sana.
Penternak mencadangkan tumbuhan ‘licorice’. Tumbuhan herba ini tumbuh dengan baik di tanah yang gersang dan akarnya mencengkam pasir. Wang dan rakan-rakannya menanam 20,000 kilometer persegi licorice dan pokok saxaul sepanjang jalan 65 kilometer dan ianya berjaya.
Selagi jalan raya dibukakan untuk lalu lintas, perusahaan garam itu dapat dimajukan dengan cepat.
Penduduk tempatan merasa gembira dengan prospek perusahaan perniagaan garam itu. Namun, Wang mempunyai satu idea lain yang merubah segalanya: meninggalkan perusahaan penggaraman dan menghasilkan wang hanya dari penghutanan semula.
Kebanyakan orang memahami membanteras penggurunan adalah sebagai satu kerugian buat kerajaan, namun tidak bagi Wang. Dia menganggap sikap itu disebabkan oleh kekurangan model perniagaan yang baik, jadi ia mencari satu penyelesaian.
Akar licorice adalah herba ubat dan rawatan umum bagi sakit tekak, selsema, bronkitis dan ulser perut. Kubuqi, tanpa adanya pencemaran, menghasilkan akar licorice berkualiti tinggi.
Perusahaan penggaraman itu dinamakan semula sebagai Elion Resources Group. Wang memberi penduduk tempatan anak benih licorice. Syarikat itu terus menyediakan latihan dan sokongan lain untuk membantu petani licorice baru. Apabila mereka menuai akarnya, kesemuanya akan dibeli oleh syarikat itu pada harga yang berpatutan.
Model perniagaan itu berjaya. Penduduk tempatan memperolehi keuntungan. Pohon-pohon ditanam dan perniagaan gurun Elion juga semakin berkembang maju.
Kumpulan itu kini mendakwa telah membangunkan ribuan jenis produk perubatan dari tanaman gurun. Syarikat itu juga telah menceburi sektor lain termasuk pelancongan, tenaga bersih, kewangan dan perdagangan karbon.
Benih-benih kejayaan
UNEP mengatakan bahawa kunci kejayaan di Kubuqi adalah model perniagaan yang mampan dan sistem yang menghubungkan dasar, pelaburan swasta dan penglibatan penduduk tempatan.
China mempunyai 2.61 juta kilometer persegi padang pasir, yang paling banyak di dunia, menurut Zhang Jianlong, ketua Pentadbiran Perhutanan Negeri.
Padang pasir gurun menduduki 27 peratus daripada daratan China dan menjejaskan hampir 400 juta orang, tetapi baru-baru ini telah mengecut kepada lebih daripada 2,000 kilometer persegi setiap tahun, kata Timbalan Zhang Liu Dongsheng.
Malah, kisah Kubuqi ini telah direplikasi di seluruh negara. Selain daripada tumbuhan licorice, orang ramai mula menanam buah goji, cistanches dan tumbuhan perubatan Cina yang lainnya.
Kemiskinan dan padang pasir adalah seperti kembar. Lebih dari satu pertiga dari wilayah yang dilanda kemiskinan di China sedang diancam oleh penggurunan.
Zhang berkata jika penduduk tempatan tidak mendapat manfaat, penanaman semula hutan tidak akan berjaya.
Di Kubuqi, keluarga-keluarga di sana telah memperolehi pendapatan tujuh kali lebih banyak daripada apa yang mereka lakukan sepuluh tahun lalu.
“China melihat padang pasir bukan sebagai satu masalah, bahkan sebagai satu peluang pekerjaan dan memerangi kemiskinan melalui penghijauan padang pasir,” kata Solheim.
‘Tembok hijau besar’ telah berkembang lebih cepat baru-baru ini. Parti Komunis China telah meletakkan pembangunan ekologi pada kedudukan yang sama dengan ekonomi, politik, budaya dan kemasyarakatan. Liu berkata pihak kerajaan merancang untuk menghutankan semula padang pasir menjelang tahun 2050.
“Selepas setengah abad, China telah menemui satu cara untuk menjinakkan penggurunan,” kata Zhang. “Ia adalah jalan untuk mengimbangi ekologi dan ekonomi, penghutanan semula dan pengurangan kemiskinan.” – Xinhua