Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha pulih imej Sungai Bunus

    KUALA LUMPUR – Perancangan menjadikan Projek Tebatan Banjir Sg Bunus dengan dua fungsi semakin menjadi kenyataan. Selain mengatasi masalah banjir ia akan berperanan sebagai pusat rekreasi di sepanjang sungai sejauh sembilan kilometer itu.

    Trek berbasikal dan laluan pejalan kaki yang dibina akan dibuka secara berperingkat-peringkat sehingga projek itu selesai sepenuhnya pada akhir tahun ini. Terbaharu seperti yang diumumkan Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Mohd Najib Mohd, kawasan riadah di Kolam Takungan Banjir Kampung Boyan akan mula dibuka kepada orang ramai pada pertengahan tahun ini.

    Selepas sekian lama Sungai Bunus tidak dipedulikan, usaha memberi nilai kepada anak sungai Klang itu sudah mula digerakkan. Namun, banyak perkara perlu ditangani segera terutama masalah sampah dan sungai berbau yang menjadi antara penyebab kualiti air Sungai Bunus masih di tahap mengecewakan.

    ‘Sungai yang bersih’

    Merakam pemandangan dari Kolam Takungan Banjir Kampung Boyan berhampiran Jalan Gurney tidak kurang menariknya terutama bagi mendapatkan imej Kuala Lumpur. Bangunan tinggi seperti menara berkembar KLCC, bangunan Celcom, Marinara serta beberapa bangunan sekitar Jalan Tun Razak dan Kampung Baru boleh dilihat dengan jelas terutama ketika cuaca cerah dengan berlatar langit membiru.

    Tapi sayangnya, apabila berdiri di tengah-tengah jambatan konkrit kolam takungan, bau yang kurang menyenangkan meresap ke dalam hidung. Melihat ke bawah di dalam sungai pula, airnya keruh dan cetek. Biasanya ketika hujan baharu boleh dilihat air Sungai Bunus mengalir deras. Ketika itu selain warna air seperti teh susu, turut terapung dibawa bersama aliran air, sampah sarap dari kawasan hulu sungai.

    Sungai Bunus merupakan salah satu lokasi projek takungan banjir bagi mengurangkan jumlah atau isi padu air sungai memasuki pusat bandar. – Bernama
    Sungai Bunus merupakan salah satu lokasi projek takungan banjir bagi mengurangkan jumlah atau isi padu air sungai memasuki pusat bandar. – Bernama
    Pekerja tapak pembinaan melihat paras air Sungai Bunus yang naik berikutan hujan lebat di Kolam Takungan Banjir Kampung Boyan, Titiwangsa. – Bernama
    Pekerja tapak pembinaan melihat paras air Sungai Bunus yang naik berikutan hujan lebat di Kolam Takungan Banjir Kampung Boyan, Titiwangsa. – Bernama

    Kepadatan penduduk, isu pembangunan dan masalah sikap menjadikan sungai yang bermula dengan hulunya di Wangsa Maju hingga Kampung Baru di hahagian hilir masih seperti ‘hidup segan mati tak mahu’. Tiada perubahan yang dilihat pada isu sampah dan bau di Sungai Bunus terutama di Kolam takungan ini, menurut Ahmad Shamsul Baharin.

    Pemilik syarikat pemaju yang sedang membangunkan projek kondominium berhadapan kolam takungan itu antara komuniti yang cukup terkesan dengan keadaan itu terutama menjejaskan usaha mengindahkan kawasan sebagai tempat rekreasi.

    “Itu pemandangan biasa di kolam ini dengan sampah sentiasa ada terutama botol-botol air mineral, plastik dan polisterin di kawasan tebing dan di dalam sungai. Bau yang datang dari sungai juga tidak kurang hebatnya, luah beliau yang juga seorang daripada 21 komuniti Sungai Bunus yang dilantik Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21KL).

    Komuniti Sungai Bunus menjadi penggerak dalam usaha memberi kehidupan di sepanjang sungai yang diterajui LA21KL. Tumpuan kini pada Kolam Takungan Banjir Kampung Boyan yang siap sepenuhnya pada tahun lepas.

    Punca sampah

    Sebelum memulakan pembinaan kondominium kira-kira empat tahun lepas katanya, beliau telah dimaklumkan mengenai Projek Tebatan Banjir Sungai Bunus dan usaha menjadikannya sebagai tempat rekreasi yang boleh dikunjungi ramai. Mengikut perancangan kolam takungan yang dibina akan dibangunkan seperti sebuah tasik dengan dikelilingi pokok-pokok menghijau serta lanskap yang indah.

    Realitinya banyak cabaran untuk menjadikan apa yang dirancang itu satu kenyataan, katanya. Apa yang ada di hadapan mata sekarang jauh daripada apa yang terlakar dalam fikirannya sebelum ini terutama keadaan kolam takungan yang cetek selain tiada penyelenggaraan dilakukan di sekitar kolam.

    Semak yang semakin meninggi memenuhi di tepi-tepi kolam dan sungai. Ahmad Shamsul berkata sebagai komuniti, beliau masih tertanya-tanya siapa yang akan mengambil tanggungjawab terutama melakukan kerja membersihkan sungai dan di sekitar kawasan kolam itu.

    “Isu sampah, bau dan kualiti air perlu diberi perhatian serius terutama pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Selain itu masalah semak samun juga harus dibersihkan secara berkala sebelum dibuka kepada orang ramai kerana ia akan mencacatkan pemandangan,” katanya.

    Bukan mahu menuding jari kepada pihak tertentu tetapi sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan masalah itu dapat diselesaikan segera. Kualiti air di sepanjang Sg Bunus yang berada di kelas 3 dan 4 berkait rapat dengan masalah sampah dan sisa kumbahan yang dilepaskan ke dalam sungai.

    Kajian permasalahan di sepanjang Sungai Bunus pernah dibuat perunding yang dilantik JPS sebelum ini. Antara yang dikenalpasti punca kualiti air adalah sikap penduduk berdekatan Sungai Bunus terutama kawasan kilang, kedai makan dan bengkel yang mengalirkan sisa buangan terus ke sungai tanpa ditapis melalui interceptor.

    Keadaan air Sungai Bunus yang cetek terutama di beberapa tempat menyebabkan sisa ini tidak mengalir kecuali hujan lebat yang mengeluarkan bau kurang menyenangkan dan menyebabkan kualiti air sukar ditingkatkan,” katanya selain meningkatkan kesedaran masyarakat terutama yang mendiami kawasan berhampiran sungai, penguatkuasaan juga adalah langkah terbaik.

    Kenangan memancing ikan di Sungai Bunus

    Jika melihat kepada keadaan Sungai Bunus hari ini tentu tidak percaya terdapat hidupan di dalamnya terutama ikan hingga ada yang melakukan aktiviti memancing ikan di Sungai Bunus. Tetapi itu pernah berlaku kira-kira 10 tahun yang lepas. Kini, dengan kualiti air dan bau yang kurang menyenangkan agak sukar untuk hidupan membina ekosistem di dalamnya.

    Abdul Rahman Abu Hassan, 56, penduduk PPR Seri Semarak yang paling hampir dengan Sungai Bunus pernah melihat aktiviti memancing di Sungai Bunus satu ketika dahulu.

    “Saya teringin juga nak memancing tapi bila tengok keadaan sungai dan bau busuk tak de siapa yang nak memancing dah,” katanya.

    Beliau yang berniaga menjual popia dan makanan panas di gerai tepi Sungai Bunus sering menghidu bau busuk dari sungai terutama ketika cuaca panas. Baunya kuat juga sampai ke bilik di belakang kedai ni, katanya. Selain beliau terdapat lebih 50 buah gerai di sepanjang tepi Sungai Bunus berhadapan dengan PPR Seri Semarak.

    Peniaga di sini sentiasa dipantau pihak DBKL bagi memastikan tidak ada yang membuang sampah ke dalam sungai dan sekiranya ada yang melakukannya mereka akan didenda. “Kebanyakan yang membuang sampah dan sisa buangan datangnya dari hulu sungai. Banyak bengkel di kawasan atas sana yang buang sisa minyak ke dalam sungai. “Kalau hujan lebat, sampah-sampah dari hulu terapung-apung, plastik sampah, ranting kayu semua ada dibawa air,” katanya.

    Apabila ditanya adakah beliau mengetahui usaha yang dilakukan JPS bagi Projek Tebatan Banjir dan pengindahan sungai, Abdul Rahman berkata beliau tidak mengetahuinya tetapi mengakui sejak beberapa tahun kebelakangan ini tiada kejadian banjir di kawsan perumahan berhampiran Sungai Bunus. Selain PPR Semarak, perumahan lain yang berdekatan dengan Sungai Bunus ialah PPR Sungai Bunus/Ayer Jernih. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda