Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Sept – Menteri-menteri ASEAN bersetuju bahawa penggunaan tanah yang cekap dan pendekatan pembangunan infrastruktur yang sistematik penting untuk mencapai kemakmuran bersama melalui usaha sama yang kukuh antara negara-negara ASEAN.
Persetujuan ini dicapai semasa Mesyuarat Infrastruktur Peringkat Menteri ASEAN-Republik Korea (ROK) yang pertama di Seoul, baru-baru ini.
Mesyuarat bertemakan ‘Pembangunan Infrastruktur dan Penggunaan Tanah Awam dan Bandar Pintar dan Infrastruktur Lestari’ itu dihadiri oleh menteri-menteri dan wakil-wakil yang bertanggungjawab dalam bidang infrastruktur dari 10 negara anggota ASEAN serta Setiausaha Agung ASEAN.
Negara Brunei Darussalam pula diwakili oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar
Pada mesyuarat itu, menteri-menteri juga mengiktiraf keperluan untuk meningkatkan kualiti hidup di bandar-bandar sebagai kesinambungan kepada perbandaran yang pesat dijalankan di ASEAN dan pembangunan bandar yang mapan. Untuk tujuan ini, menteri-menteri ASEAN mengesahkan untuk meneruskan dasar kerjasama dalam bidang bandar pintar untuk mengintegrasikan kemajuan teknologi dilaksanakan dengan tenaga hijau, alam sekitar dan ICT.
Selain itu, sidang menteri juga mengesahkan untuk sama-sama berusaha bagi membangunkan dan menyebarkan teknologi infrastruktur pintar berkaitan dengan pengangkutan dan sumber air yang antara lain memberi impak positif terhadap teknologi seperti jaringan infrastruktur dan pembentukan Komuniti ASEAN.
Mesyuarat juga menyokong pelaksanaan Pelan Induk Mengenai Kesalinghubungan ‘ASEAN 2025’ (MPAC 2025) khususnya dalam bidang infrastruktur dan inisiatif yang mapan untuk bertukar-tukar dasar dan pengalaman dalam bidang penggunaan tanah, bandar dan perumahan.
Pelaksanaan itu juga termasuk meneroka kaedah pengurusan baharu yang mempunyai aplikasi maklumat tanah negara bagi memastikan kecekapan penggunaan guna tanah dan pendekatan yang bersistematik untuk pembangunan infrastruktur.
Dalam usaha untuk mendapatkan kerjasama yang pragmatik dan substantif, 20 Kunci Agenda Kerjasama Utama telah dikenal pasti untuk menyokong usaha-usaha bagi mencari dan melaksanakan projek-projek dalam bidang infrastruktur.
Selain itu, platform sedia ada akan digunakan untuk menggalakkan kerjasama dalam bidang infrastruktur dan direka untuk memudahkan pertukaran antara Korea Selatan dan negara-negara anggota ASEAN di semua peringkat kerajaan dan seluruh sektor.
Pada mesyuarat itu juga, menteri-menteri ASEAN mengambil maklum akan kepelbagaian inisiatif, tindakan dan rancangan pembangunan infrastruktur di setiap negara dan bandar raya pintar serta langkah-langkah kerjasama antara ASEAN-ROK.
Dalam menyokong merealisasikan Wawasan Kerjasama ASEAN-ROK dan membangunkan serta memperkukuh hubungan kerjasama dalam kalangan negara-negara ASEAN dan ROK, Brunei Darussalam juga berkongsi rancangan untuk membina dan mengurus infrastruktur ke arah pendekatan yang lebih mampan dan bersepadu mengambil pengajaran daripada pengalaman dan kepakaran daripada rakan-rakan kongsi.
Menteri-menteri ASEAN seterusnya menyokong Pengisytiharan Mesyuarat Menteri-Menteri Infrastruktur ASEAN-ROK yang pertama dan Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan peluang untuk kerjasama dalam bidang bandar raya pintar dan sistem pengangkutan awam yang maju.
Sebelum majlis perasmian mesyuarat, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi mengadakan perbincangan dua hala bersama Menteri Kemajuan Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Republik Korea, Puan Yang Terutama Kim Hyun-mee.
Perbincangan merujuk kepada kerjasama antara kedua-dua buah negara yang mana Yang Berhormat Dato menyokong dalam mengukuhkan lagi perkongsian dan membina rangkaian dengan lebih dekat untuk kerjasama yang lebih praktikal terutamanya dalam inisiatif pertukaran dasar dan pengalaman dalam bidang yang berkaitan.
Ini termasuk program membina keupayaan khususnya dalam bidang infrastruktur mampan di bawah empat bidang kerjasama iaitu pengangkutan, tenaga, sumber air dan IT pintar untuk meningkatkan perhubungan di rantau ASEAN.
Turut menyertai Menteri Pembangunan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa, Haji Shahrom bin Haji Awang Suhaimi dan Jurutera di Kementerian Pembangunan, Awang Mohammad Zulaine bin Haji Zahiri.