Usaha selamatkan Brexit gagal

LONDON, 22 Mei – Usaha terakhir Perdana Menteri Britain Theresa May untuk menyelamatkan perjanjian perpisahan EU nampaknya gagal apabila Konservatif pro-Brexit dan parti pembangkang Buruh menolak percubaan beliau untuk mencapai kompromi.

May mungkin menghadapi sesi serius pada ‘Persoalan Perdana Menteri’ di parlimen hari ini, sehari sebelum Britain mengundi dalam pilihan raya EU yang tidak dijangka diambil bahagian dalam masa tiga tahun selepas referendum Brexit.

Pemimpin itu berjanji semalam akan memberikan penggubal undang-undang satu pengundian untuk mengadakan referendum Brexit kedua dan menawarkan pakej sogokan yang diharapkan oleh beliau dapat menyelesai krisis Brexit.

Ahli parlimen telah pun menolak perjanjian Brexit beliau sebanyak tiga kali.

May berkata beliau akan meletak jawatan sejurus selepas langkah-langkah yang dirangka oleh beliau diluluskan untuk pengundian pada awal bulan depan, tidak kira apa keputusannya.

Perdana Menteri Britain Theresa May meninggalkan 10 Downing Street untuk menghadiri sesi mingguan Persoalan Perdana Menteri di Parlimen di London kelmarin. – AP

Dalam ucapan beliau semalam, beliau berjanji akan memberikan penggubal undang-undang satu peluang untuk menetapkan referendum mengenai versi Brexit yang ingin diluluskan oleh mereka dalam minggu-minggu atau bulan-bulan akan datang.

Langkah tersebut adalah permintaan utama parti pembangkang Buruh tetapi ditentang oleh Konservatif di mana mereka juga diperlukan oleh May sekiranya beliau ingin perjanjiannya diluluskan.

Tawaran May keluar tatkala Britain mengundi dalam pilihan raya EU esok dengan dua parti utama menyusuli di belakang Parti Brexit dan parti pro-EU Liberal Demokrat, menurut tinjauan YouGov.

“Isu yang timbul sekarang adalah lebih daripada tindakan keluar dari Kesatuan Eropah. Ia adalah mengenai soalan demokrasi yang lebih besar, lebih penting,” beritahu pemimpin Parti Brexit Nigel Farage kepada penyokong pada rapat terakhir semalam.

“Jika kami menang besar esok, kami akan membunuh sebarang prospek parlimen untuk memaksa referendum kedua disebabkan mereka tahu mereka akan kalah!” – AFP